MEDAC saran PBT mudahkan permohonan lesen usahawan
TANJONG KARANG, 15 Jan – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) memudahkan permohonan lesen usahawan untuk menjalankan perniagaan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata usahawan menghadapi cabaran dari segi tempat berniaga yang terhad dan permohonan lesen yang mencabar, di samping kekurangan peluang pembiayaan.
“Di Tanjong Karang terutamanya, ramai pengusaha yang terdiri daripada golongan mikro dan informal. Antara cabaran bagi pengusaha trak makanan adalah waktu beroperasi hanya selepas waktu bekerja apabila tempat letak kereta awam dikosongkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog MEDAC bersama usahawan di sini hari ini.
Beliau turut berharap agar usahawan yang sedang dalam proses pemulihan akibat COVID-19 dan banjir tidak dikompaun oleh PBT sekiranya tidak mengikut peraturan dan perlu diberikan nasihat.
Semalam, MEDAC menyarankan agar institusi kewangan kerajaan memudahkan permohonan pinjaman untuk usahawan luar bandar memohon pinjaman tanpa mengambil kira sama ada mereka disenarai hitam atau tidak oleh Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Menurut Noh, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM62 juta masing-masing kepada Bank Rakyat (RM40 juta) dan SME Bank (RM22 juta) untuk memudahkan usahawan luar bandar yang terjejas akibat banjir memohon pinjaman.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.