‘Meja rezeki’ bantu insan terkesan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 19 Nov. – “Orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai,” itu perumpamaan bagi Nur Lailam Maslan yang menyumbang menerusi ‘meja rezeki’ miliknya.

Nur Lailam Mustaffa,29, berkata, usaha itu dimulakan pada awal November lalu bagi membantu insan yang terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Katanya, insan itu termasuk suaminya yang mengalami kesulitan dalam pekerjaan sedia ada dan terpaksa berniaga gerai secara kecil-kecilan menjual pencuci mulut di Taman Tasik Utama.

NUR Lailam

“Suami saya antara insan yang mengalami kesulitan sejak pandemik COVID-19 berlaku, jadi saya mula membantu suami untuk berniaga ‘dessert’ di Taman Tasik Utama gerai di tepi jalan.

“Dalam kita kesusahan, bila kita menderma atau membantu orang lain, nikmat atau ganjaran Allah beri adalah lebih lagi.

“Konsep itu kami pegang, kebetulan rakan saya dari Senawang bermurah hati untuk menyumbang kek pisang, saya pula masak ‘spaghetti’ (35 bungkus) dan donut brownies,” katanya kepada MHI.

Katanya ‘meja rezeki’ bukan hanya memfokuskan golongan susah, malah sesiapa sahaja yang ingin mengambil makanan percuma itu dialukan.

“Tidak kisah sesiapa yang datang nak ambil kerana niat kami adalah untuk menderma.

“Untuk esok (Jumaat), saya akan sediakan ‘spaghetti’ 30 bungkus dan ada rakan dari Alor Gajah pula ingin menderma 30 bungkus nasi lemak ayam goreng berempah,” katanya.

Nur Lailam berharap agar usaha itu dapat diperluaskan ke seluruh kawasan sekali gus berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

“Hari esok (Jumaat) kita ada 60 bungkus makanan percuma untuk disalurkan, insyaAllah selepas ini kita akan salurkan 100 hingga 200 bungkus pada setiap bulan.

“Jika ada yang ingin berkongsi rezeki boleh salurkan kepada saya untuk saya agihkan kepada golongan memerlukan, jika sekarang hanya sebulan sekali, mungkin selepas ini sebulan dua kali,” katanya.

Nur Lailam merupakan ibu kepada dua anak iaitu seorang lelaki berusia lima tahun dan perempuan berusia tiga tahun, manakala suaminya Hassan Maslan,53, bekerja sebagai operator aktiviti ‘outdoor’ di Tasik Ayer Keroh.

Views:

822
Kongsi :
Previous post Jawatankuasa khas tangani ancaman babi hutan dan kera
Next post PAS Melaka tampil buat laporan polis
Ubah saiz-+=