Melaka agresif tarik pelabur industri berteknologi tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Pelbagai langkah agresif dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelabur khusus dalam bidang pembuatan berteknologi tinggi untuk bertapak di bumi Melaka, kata Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Khaidhirah berkata, selain status negeri mesra pelabur cadangan mewujudkan beberapa lagi kawasan perindustrian baharu antara aspek mendapat perhatian dan meningkatkan lagi keyakinan pemain industri termasuk yang bertaraf multinasional.

“Melaka akan sentiasa aktif dan agresif menarik pelabur datang ke negeri ini, lebih-lebih lagi dengan pembinaan tapak perindustrian baharu iaitu Taman Teknologi Jerman, MCORP High Tech Park dan Taman Perindustrian Elkay akan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka beroperasi di sini.

“Kita memberi jaminan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi terlibat akan memudahkan pelabur.

“Kerajaan Negeri akan memberi peluang terbaik kepada mereka dengan penyediaan pelbagai fasiliti dan kemudahan,” katanya ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Majlis Pembukaan Kilang Grand Innosys (M) Sdn Bhd di Taman Tasek Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Penasihat Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri, Datuk Lim Ban Hong serta tetamu lain.

Dalam perkembangan lain, Khaidirah berkata, operasi kilang berkenaan membuktikan Melaka mampu menjadi negeri pengeluar produk berteknologi tinggi selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu.

“Jumlah kilang menghasilkan produk semikonduktor di Melaka semakin meningkat, semua ini mampu menjadi pemangkin kepada pelabur untuk datang ke negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

93
Kongsi :
Previous post Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Koperal Mohd Hasif dibenar keluar hospital
Next post Empat calon SPM 2023 dari Sekolah Integriti, Sekolah Henry Gurney peroleh semua A
Ubah saiz-+=