MELAKA AKAN PANGGIL SEMUA PENGUSAHA, PENGASUH TASKA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

REMBIA 7 September – Semua pengusaha dan pengasuh taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negeri ini akan dipanggil menerusi satu program advokasi, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.

Ia susulan kes kematian bayi di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, di sini, dipercayai akibat perbuatan kejam pengasuh.

Menurut Kalsom, tindakan segera perlu dilakukan memandangkan ia bukan kejadian pertama berlaku membabitkan taska di negeri ini.

Malah, ujar beliau, perbuatan sama turut dilakukan pengasuh pada kejadian sebelum ini, di mana bayi asuhan telah dibedung, disumbat botol susu dan ditutup dengan kain.

“Perbuatan ini (bedung dan beri susu) mungkin cara paling senang untuk bayi tidak bergerak dan tidur. Tapi sebenarnya perbuatan itu salah! Ini kali kedua berlaku dan cara kematiannya sama.

“Perkara seperti ini tidak boleh berlaku kami dan kita tidak mahu ada lagi kes ketiga, keempat, kelima dan seterusnya berlaku di negeri ini.

“Sebab itulah kita mahu memanggil semua pengusaha dan pengasuh taska di negeri ini, di mana saya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan kertas kerja yang baik supaya garis panduan yang jelas dapat diberikan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi waris bayi maut di Taman Kelemak Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhammad.

Menurut Kalsom, di Melaka terdapat 137 buah taska berdaftar dengan yang tertinggi adalah di daerah Melaka Tengah iaitu sebanyak 101 buah dengan jumlah kanak-kanak melebihi 20,000 orang.

Ia diikuti 19 taska berdaftar di daerah Jasin dengan 300 kanak-kanak dan 17 di daerah Alor Gajah dengan 380 kanak-kanak.

“Kita menyeru agar ibu bapa hanya menghantar anak-anak mereka di taska yang berdaftar sahaja, di mana, segala maklumat dan senarai taska berdaftar ada dipaparkan di laman web JKM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

603
Kongsi :
Previous post LEMAS PUNCA KEMATIAN AL FATEH
Next post MINDEF SEDIA BANTU PERUBAHAN PENEMPATAN BAPA BAYI MAUT DI TASKA
Ubah saiz-+=