MINDEF SEDIA BANTU PERUBAHAN PENEMPATAN BAPA BAYI MAUT DI TASKA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

REMBIA 7 September – Bapa kepada bayi lelaki yang maut dalam jagaan pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, di sini, akan dibantu Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam sudut kebajikan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, bantuan itu termasuklah mempercepatkan permohonan perubahan penempatan anggotanya itu yang berkhidmat di bawah Regimen Askar Jurutera Diraja.

Namun, katanya, semua itu bergantung kepada kelulusan di peringkat perkhidmatan anggota pertahanan itu.

“Di pihak kementerian, kita memahami apa yang sedang dialami oleh pasangan ini dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana mereka telah berusaha selama 13 tahun untuk mendapatkan anak dan cara kehilangan bayi mereka dengan cara sebegitu memang sukar.

“Jadi dalam tempoh sukar ini, kita akan bantu agar suami yang merupakan seorang anggota tentera dapat berada di bawah satu rumah bersama isterinya, memandangkan beliau bertugas di kem Sungai Besi manakala isterinya sebagai guru di Melaka.

“Jadi kita akan membantu dengan cara memanjangkan permohonan mereka untuk perubahan penempatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi kediaman Mejar Ir. Ts. Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39 dan Sabrina Hakiem Zaini yang kehilangan bayi mereka, Muhammad Al Fateh Amri, lapan bulan di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, di sini.

Img 20240907 181600 594
ADLY

Tambah Adly, pihaknya juga akan turut membantu dari sudut sokongan termasuk bantuan psikologi yang diperlukan pasangan tersebut.

“Kita nampak suami paling terkesan dan disebabkan itulah kita akan berikan semua bentuk bantuan yang bukan saja melibatkan aspek fizikal tetapi juga psikologi.

“Ini kerana kita mahu memastikan kestabilan kepada keluarga anggota ini kerana ia akan memberi kesan kepada perkhidmatannya nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2817
Kongsi :
Previous post MELAKA AKAN PANGGIL SEMUA PENGUSAHA, PENGASUH TASKA
Next post 1,000 MERIAHKAN JAMUAN TEH NEGERI BERSAMA TUN DR. MOHD ALI
Ubah saiz-+=