Melaka akan perluas ‘Eco-Schools’, praktik amalan hijau di sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 20 Jan – Pelaksanaan program amalan hijau perlu dilaksanakan di semua sekolah di negeri ini agar mampu diiktiraf sebagai Eco-Schools sekali gus mendukung hasrat Melaka sebagai negeri lestari menjelang 2035.

EXCO Pendidikan Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia perlu dilaksanakan dengan menjalankan program amalan hijau dan kempen berkaitan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Jelasnya, setakat ini terdapat 135 daripada 315 sekolah di negeri ini telah menjalankan program berkenaan bagi mendapat pengiktirafan ‘Eco-School’ dan ia perlu diperluaskan memandangkan ia mampu memberi manfaat dan impak mendalam di peringkat akar umbi.

“Di Melaka, sebanyak 17 buah sekolah telah menerima pengiktirafan sebagai Eco-School berikutan menekankan beberapa sudut pengamalan hijau dengan pelbagai penekanan hijau.

“Bagi pengiktirafan tertinggi hanya lima buah sekolah telah menerima Anugerah ‘Green Flag’ diikuti, sembilan menerima ‘Silver Flags’ dan tiga ‘Bronze Flags’ di mana saya yakin ini akan memberi impak dan semangat kepada warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Eco-School di Sekolah Kebangsaan Convent Infant Jesus 1, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri akan lebih proaktif menggerakkan hasrat terbabit menerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pelbagai pihak terlibat bagi memperkasa progam berkenaan secara menyeluruh di Melaka.

“Kita akan gerakkan lagi dengan lebih rancak dengan pelbagai kempen-kempen di peringkat negeri berikutan saya rasa ini bukan perkara yang kita anggap sebagai enteng lagi kerana telah diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam hasratnya bagi menuju Melaka sebagai negeri lestari pada 2035.

“Jadi program Eco-Schools dan banyak lagi program hijau dalam bentuk kempen dan sebagainya perlu diperbanyakkan bagi memupuk kesedaran masyarakat,” katanya.

Program Eco-Schools merupakan inisiatif antarabangsa di bawah payung UNESCO’s Global Action on Education for Sustainable Development (ESD) dijalankan berasaskan pendidikan untuk kelestarian pembangunan telah dijalankan melibatkan 60 negara.

Eco-Schools Melaka telah dijalankan sejak tahun 2016 oleh PTHM dengan kerjasama rakan strategik Green Growth Asia Foundation disokong oleh World Wildlife Fund (WWF) for Nature dan JPN Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2099
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak kritikal ada dadah dalam badan
Next post MBMB terima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan
Ubah saiz-+=