MELAKA BAKAL TUBUH KONSORTIUM, USAHAKAN TANAH SAWAH TERBIAR

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MERLIMAU 5 November – Sebuah konsortium akan ditubuhkan menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri bagi mengusahakan sawah terbiar sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan lagi tahap keterjaminan makanan di Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata sebagai permulaan pihaknya akan mengumpulkan semua pesawah memiliki tanah terbiar untuk dimajukan.

Katanya, Melaka ketika ini mempunyai lebih 1,500 hektar tanah sawah namun daripada keseluruhan jumlah keluasan itu kurang daripada 1,000 hektar sahaja yang diusahakan.

“Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, mengumumkan cadangan untuk kita usahakan tanah sawah yang terbiar.

“Jadi kita di Melaka menyahut cabaran untuk meningkatkan keterjaminan makanan seterusnya membantu pesawah-pesawah di negeri ini untuk menjana pendapatan jangka panjang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu Mardi MR326 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kampung Sempang, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.

Dr. Muhamad Akmal berkata, Varieti Baharu Padi MR326 yang diberi nama Kesidang merupakan benih yang tahan penyakit dan lasak.

“MR326 itu dihasilkan melalui kacukan antara induk SPD175 dan MR255. Kesidang ini dikategorikan sebagai padi yang sederhana tinggi, tegak serta daun pengasuh sederhana panjang dengan tempoh masa matang adalah sekitar 118 hingga 120 hari selepas tabur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post PENUBUHAN IADA SELATAN BAKAL BERI MANFAAT KEPADA PESAWAH NEGERI SEMBILAN, MELAKA DAN JOHOR
Next post DUA LELAKI MAUT, KERETA DINAIKI LANGGAR PEMBAHAGI TOL
Ubah saiz-+=