Melaka bakal wujudkan zon khas nelayan tangkap ikan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 22 Sept. – Satu zon khas atau ‘buffer zone’ bakal diwujudkan di perairan negeri ini dalam masa terdekat bagi membezakan kawasan untuk kapal berlabuh dan lokasi nelayan menangkap ikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, perkara itu penting memandangkan sehingga kini perairan negeri ini tidak mempunyai sebarang zon khusus untuk nelayan dan kapal-kapal dagang yang berlabuh.

Perkara itu jelasnya telah menyebabkan nelayan negeri ini berdepan dilema untuk keluar menangkap ikan apabila jaring yang dilabuhkan kerap rosak dilanggar kapal-kapal besar.

Sehubungan itu beliau bercadang untuk mengusulkan agar zon-zon khas diwujudkan dalam masa terdekat bagi memberi lebih keselesaan buat nelayan dan kapal-kapal yang berlabuh di perairan ini.

“Sebagai contoh kita wujudkan satu zon A khas untuk zon tangkapan ikan. Maka, kapal-kapal besar tidak boleh parkir dan lalu di sini. Kita haramkan dia.

“Kemudian, kita buat satu lagi zon untuk kapal berlabuh. Jadi, nelayan pula tidak boleh menghampiri zon ini dan kita pun tak benarkan kerana bahaya untuk mereka. Dan yang terakhir ialah zon selat antarabangsa.

“Jadi, buffer zone inilah membezakan kawasan-kawasan di perairan kita yang akan saya cadangkan dalam masa terdekat bertujuan untuk menyelesaikan masalah nelayan.

“Jadi, lepas ini nelayan boleh membuang jaring dengan senang hati tanpa perlu risau jaring mereka dilanggar kapal-kapal besar atau rosak,” katanya.

Mengulas lanjut, Norhizam memaklumkan, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Ukur Dan Pemetaan Melaka (JUPEM) bersama-sama Jabatan Perikanan Negeri Melaka dan Jabatan Laut untuk membuat ukuran bagi zon-zon khas yang akan dirancang itu.

“Buat masa ini jarak untuk setiap zon kita belum bincang lagi, tetapi Insyaallah ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan,” katanya lagi.

Views:

416
Kongsi :
Previous post MAYC Jasin bantu baik pulih rumah warga emas
Next post Martabatkan guru sekolah agama di Melaka
Ubah saiz-+=