Melaka-Batam jalin kerjasama pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 2 Oktober – Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Kerajaan Negeri Melaka telah menjalin kerjasama dengan Batam, Kepulauan Riau, Indonesia untuk memperkasa sektor pelancongan kedua-dua negara.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, antara tumpuan utama yang diberi perhatian ialah dalam subsektor pelancongan kesihatan.

Jelasnya, ia memandangkan Indonesia mendominasi pasaran dalam sektor berkenaan dengan mencatat kehadiran 51,998 pelancong kesihatan pada tahun 2022.

“Indonesia merupakan sebuah pasaran pelancong kesihatan yang yang paling menonjol di mana, mereka mendapatkan rawatan di empat buah hospital pakar di negeri ini iaitu Putra Specialist Hospital, Mahkota Medical Centre, Hospital Pantai dan Oriental Melaka Straits Hospital.

“Di sini, kita mempunyai kepakaran dari segi perubatan dan tambahan pula, kos rawatan di Melaka adalah separuh lebih rendah berbanding kos di Singapura dan Jakarta, Indonesia sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar dan Sesi Padanan Niaga Program Pelancongan Kesihatan Negeri Melaka yang diadakan di sebuah hotel di Batam, Kepulauan Riau, Indonesia, 28 September lalu.

Hadir sama pada sesi itu ialah Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abd Azis dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Md Azhan Samat.

Turut hadir Kepala Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Kota Batam Drs. Adriwinata; Pengarah Tourism Malaysia Medan Chan Hon Mun serta penggiat-penggiat industri pelancongan Kota Batam, Kepulauan Riau, Indonesia.

Hee Sem berkata, pada seminar dan sesi padanan niaga itu juga, dua buah hospital perubatan Melaka iaitu Putra Specialist Hospital dan Mahkota Medical Centre telah memperkenalkan pakej-pakej istimewa pelancingan kesihatan sempena TMM2024.

Selain itu, Hee Sem turut berkongsi antara program pelancongan menarik yang bakal disedia di Melaka sempena TMM2024 iaitu membabitkan sebanyak 70 acara dengan 32 daripadanya adalah acara pelancongan utama.

Tambah Hee Sem, selain menikmati keindahan dan keunikan Negeri Melaka, pelancong bertuah juga berpeluang membawa pulang empat buah kereta menerusi kupon cabutan bertuah kepada mereka yang menginap selama dua malam di hotel-hotel di negeri ini.

“Saya berharap warga Batam dan Indonesia bersedia untuk mendapatkan rawatan kesihatan atau melancong ke Melaka memandangkan kita bukan sahaja menawarkan perkhidmatan terbaik, bahkan pada harga yang berpatutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1515
Kongsi :
Previous post Melaka dicadang jadi venue ‘Hari Pelancongan Sedunia’ 2025
Next post 23 PATI ditahan di Melaka Sentral
Ubah saiz-+=