Melaka dicadang jadi venue ‘Hari Pelancongan Sedunia’ 2025
AYER KEROH 2 Oktober – Sesuai dengan imej destinasi pelancongan terkemuka, Negeri Melaka dicadang untuk diangkat menjadi venue Hari Pelancongan Sedunia atau ‘World Tourism Day’ (WTD) 2025.
Pemilihan Bandaraya Bersejarah itu adalah berikutan Malaysia bakal dicalonkan menjadi hos bagi sambutan berkenaan pada 2025 dengan tema ‘Tourism & Sustainable Transformation’.
Pencalonan itu akan diangkat untuk kelulusan sesi ke-25 perhimpunan agung World Tourism Organization (UNWTO) pada 16 hingga 20 Oktober ini di Samarkand, Uzbekistan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, penganjuran WTD di Melaka bakal memberi impak besar kepada landskap pelancongan negeri.
Jelas beliau, menerusi penganjuran itu, dijangkakan pemimpin-pemimpin dunia dari 155 negara akan hadir bagi sambutan yang diadakan pada tanggal 27 September setiap tahun itu.
“Ia sekali gus meyaksikan Melaka dapat meningkatkan visibiliti di peringkat global berbanding negeri-negeri lain sekali gus meningkatkan imej negeri sebagai destinasi pelancongan terunggul di Malaysia.
“Pada masa sama, ia juga dapat menjana pertumbuhan ekonomi rakyat dan negeri ini melalui perbelanjaan peserta-peserta antarabangsa yang terlibat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Terdahulu, Abdul Razak bersama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin mewakili Kerajaan Negeri Melaka menghadiri sambutan WTD di Riyadh, Arab Saudi, 27 September lalu,
Dengan bertemakan ‘Tourism and Green Investments’, ia disertai lebih 500 pemimpin dan wakil kerajaan dari 153 negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.