Melaka bina RMM berdasarkan permintaan bukan kuota

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

SERI NEGERI 11 Julai – Melaka menyarankan kepada pemaju projek perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) agar membina jumlah unit kediaman itu berdasarkan penjenisannya berbanding kuota yang ditetapkan seperti sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai golongan B40 berpeluang untuk memiliki kediaman mereka pada masa akan datang.

Jelasnya, sekiranya dilaksanakan berdasarkan permintaan ia mampu memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki rumah idaman berdasarkan kemampuan mereka.

“Seperti contoh, jika sesebuah projek perumahan RMM membina 100 unit bagi jenis Rumah Kos Rendah (RKR) tetapi permintaannya tidak tinggi, jadi dengan langkah ini kita boleh kurangkan kepada 70 unit sahaja dan lebihannya dipindahkan kepada RMM Jenis yang lain.

“Permintaan ini juga bergantung kepada sesebuah kawasan dan ia dilaksanakan bagi memudahkan urusan pinjaman bank bakal pembelian serta mendapatkan rumah yang lebih bagus.

“Jika bina mengikut kuota, kita sudah tahu berapa unit penjenisan RMM yang akan dibina dan inilah yang Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mahu ia dikaji semula dan saranannya agar rumah dibina mengikut permintaan di sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Di Antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Pemaju Nusantara Tulin Sdn Bhd disaksikan Ab Rauf diadakan di Bilik Mesyuarat Bijasura, Seri Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Abd Aziz Engan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan); Datuk Md Azhan Samat @Limat serta tetamu lain.

Tpr. Murad berkata, langkah itu juga mampu membantu meningkatkan nilai jualan perumahan RMM yang dibina dalam setiap projek di Melaka.

Bagaimanapun katanya, syarat pembinaan 50 peratus diletakkan pada pembinaan RMM bagi projek perumahan melebihi 50 ekar tetap dilaksanakan bagi mana-mana pembangunan perumahan di negeri ini.

“Dalam masa yang sama jualan juga akan lebih bagus kerana lebih ramai orang mampu beli kerana jumlah unit RMM bertambah disebabkan kita boleh alih kepada jenis yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya.

Untuk rekod, terdapat pelbagai jenis RMM di bina di negeri ini menerusi LPM iaitu Rumah Kos Rendah (RKR); Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR); Rumah Mampu Milik (RMM) A, B dan C dan Rumah Belia Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post Papan tanda ‘1 Kampung 1 Pantun’ Melaka ditambah baik
Next post Melaka lancar aplikasi i-Cemas kurangkan kesesakan Hospital Melaka
Ubah saiz-+=