Melaka buka jalan untuk pembikin filem sejarah

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDAR MELAKA 3 September – Melaka sedia memberi kerjasama dengan mana-mana penerbit atau pengarah filem yang mahu menghasilkan filem sejarah di negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, cadangan untuk menghasilkan filem sejarah sangat bertepatan dengan Melaka yang menyimpan pelbagai kisah sejarah yang boleh diterokai.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita sentiasa bersedia untuk pembikin filem menghasilkan filem-filem sejarah ini.

“Malah, kita juga telah merencanakan Perkampungan Hang Tuah di Duyong untuk diangkat sebagai pusat perfileman untuk kebudayaan dan sejarah,” katanya ketika ditemui pada program Semarak Gemilang Daerah Melaka Tengah di Villa Sentosa Kampung Morten, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pengarah filem blockbuster Mat Kilau, Syamsul Yusof memberi bayangan bakal menerima tawaran untuk menghasilkan sebuah filem termahal dalam sejarah yang akan mengangkat keagungan sejarah Negeri Melaka.

Syamsul dipetik berkata, filem tersebut merupakan antara intipati pertemuannya bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang mana jika direalisasikan, filem itu bakal menelan belanja ratusan juta ringgit.

Dalam pada itu, Muhammad Jailani berkata, pelbagai kisah sejarah dan pejuang Melayu yang boleh diangkat untuk dijadikan sebuah naskhah filem antaranya kisah Hang Tuah bersaudara, Tun Perak, Tun Mutakhir dan Tun Fatimah.

Selain itu, katanya, kisah perjuangan Raja Haji, iaitu seorang pahlawan Melayu Bugis yang gugur di bumi Melaka juga menarik untuk difilemkan tatkala berjuang ketika era penjajahan Belanda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1776
Kongsi :
Previous post Penghantar makanan maut rempuh SUV
Next post KBSM A johan Piala Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Asmah Abd Rahman
Ubah saiz-+=