Sorting by

×

Penghantar makanan maut rempuh SUV

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

TANJUNG BIDARA 3 September – Seorang penghantar makanan p-hailing maut selepas motosikal dinaikinya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Jalan Baru Tanjung Bidara, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari tadi, mangsa, Muhamad Alif Bakar, 28, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu memaklumkan, kemalangan berlaku apabila motosikal Honda Wave 125 yang ditunggangi mangsa dari arah Tanjung Bidara menuju ke Solok Duku telah bertembung dengan kereta jenis Perodua Aruz.

“Hasil siasatan, Perodua Aruz dari arah Solok Duku hendak memasuki simpang ke Taman Bidara Setia telah berlanggar dengan mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Kemalangan berlaku apabila SUV yang dipandu lelaki berusia 21 tahun telah membelok masuk ke simpang kanan membuatkan mangsa dari Tanjung Bidara merempuh bahagian kiri hadapan kenderaan terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan pada kepala dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat,” katanya.

Tambah Arshad, ketika kejadian keadaan jalan adalah bersimpang tiga manakala keadaan cuaca baik dan tidak hujan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan kenderaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2613
Kongsi :
Previous post Unit Kebudayaan Kampung Morten bakal ditubuhkan
Next post Melaka buka jalan untuk pembikin filem sejarah
Ubah saiz-+=