Melaka capai padanan perniagaan lebih RM14 juta

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Penganjuran Karnival Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Selatan 2023 yang diadakan bermula Khamis lalu berjaya mencapai nilai padanan perniagaan lebih RM14 juta.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, nilai itu melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu RM12 juta.

Menurutnya, sepanjang dua hari sesi padanan perniagaan yang diadakan pada 22 dan 23 Jun itu, sebanyak lebih 200 sesi padanan telah diadakan bersama pasar raya tempatan dan luar negeri.

“Dalam dua hari ini kita berjaya mencapai nilai RM14 juta dan itu melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM12 juta, selain ia juga jauh melangkaui nilai yang dicatat tahun lepas iaitu RM7.32 juta.

“Bukan itu sahaja, malah, 80 gerai yang dibuka sepanjang karnival ini turut mencatat nilai jualan menghampiri RM100,000 dalam tempoh sehari.

“Ia menunjukkan kejayaan cukup baik hasil komitmen semua yang terlibat, termasuk jabatan dan agensi kerajaan yang turut sama hadir memberikan taklimat dan maklumat berguna kepada usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Minggu PMKS Zon Selatan 2023, yang turut dihadiri Timbalannya Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Terdahulu, karnival berkenaan telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

IMG_20230624_200646_481
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, menurut Allex, selain membantu usahawan, karnival berkenaan juga turut memberi tempias kepada orang ramai khususnya rakyat Melaka membeli barangan keperluan pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Jelasnya, ia menerusi inisiatif Jualan Rahmah dan Jualan Madani yang diadakan sepanjang empat hari karnival itu berlangsung.

“Seperti contoh, di sini, orang ramai dapat membeli telur ayam pada harga RM9 sepapan berbanding lebih RM12 di luar, selain ayam segar pada harga RM8 per kilogram sahaja.

“Saya difahamkan untuk sehari saja, lebih 1,000 papan telur dan lebih 800 ekor ayam berjaya dijual menerusi program ini.

“Saya percaya karnival ini selain memberi manfaat kepada usahawan, ia juga dapat membantu orang ramai dalam mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8328
Kongsi :
Previous post Kerana pelaburan tidak wujud, kerani rugi lebih RM100,000
Next post RM18.9 juta perkasakan program KEMAS
Ubah saiz-+=