MELAKA DIGITALKAN 11,524 PLOT KUBUR

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

PAYA RUMPUT 27 Julai – Melaka terus mengorak langkah dalam agenda pendigitalan apabila inisiatif Kubur Digital yang diperkenalkan buat kali pertama di negara ini telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan.

Berdasarkan laporan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Melaka, setakat ini sebanyak 11,524 plot kubur telah dan bakal didigitalkan.

Ia membabitkan 539 kawasan tanah perkuburan meliputi keluasan seluas 246.59 hektar di seluruh Negeri Melaka.

Taklimat mengenai inisiatif itu telah disampaikan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika mengadakan lawatan ke tapak kubur digital di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Turut bersama dalam lawatan itu, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta kenamaan lain.

Di Kampung Krubong sahaja, sebanyak 582 plot kubur telah didigitalkan setakat ini, merangkumi keluasan 0.25 hektar.

Dimaklumkan, maklumat mengenai Kubur Digital boleh diakses menerusi platform Maqbarah Ar Raudhah Negeri Melaka yang dibangunkan PLANMalaysia dengan mengintegrasikan sistem pemetaan digital bagi merekodkan lokasi dan maklumat setiap plot kubur di seluruh negeri.

Inisiatif itu membolehkan orang ramai mengakses lokasi tanah perkuburan, selain sistem itu turut menyediakan maklumat terperinci seperti nombor lot, nombor plot, nama si mati, tarikh kematian, jantina, kategori kubur dan status penghuni, sekali gus memudahkan proses carian oleh waris.

Malah, orang ramai juga boleh mengakses maklumat berkenaan menerusi kod QR yang disediakan bagi mendapatkan lokasi kubur secara digital tanpa perlu lagi mencari plot kubur ahli keluarga menggunakan kaedah konvensional seperti melihat nama pada batu nisan atau bergantung harap kepada tanda tertentu seperti pokok dan sebagainya.

Bagi tanah perkuburan yang telah selesai dipetakan, paparan sistem menunjukkan susun atur setiap plot kubur secara terperinci menggunakan imej udara dan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS), sekali gus memudahkan urusan pengurusan serta pencarian lokasi.

Inisiatif Kubur Digital Negeri Melaka dijangka dapat meningkatkan kecekapan pengurusan tanah perkuburan Islam di negeri ini selain memudahkan waris mendapatkan maklumat lokasi pusara ahli keluarga dengan lebih cepat dan tepat.

Pendigitalan itu turut menyokong agenda transformasi digital Kerajaan Negeri selepas menjadi perintis kepada inisiatif Kampung Digital, sekali gus memperkasakan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post TOK RAUF UMUM RM500,000 BINA JALAN BAHARU ‘KAMPUNG KEMBOJA’
Next post RM150,000 LAMBANG KASIH SAYANG TOK RAUF UNTUK ORANG PAYA RUMPUT