‘Melaka for Singaporean’ tarik pelancong negara jiran

JOHOR BAHRU 15 April – Kerajaan negeri menerusi Tourism Melaka memperkenalkan Kempen Promosi ‘Melaka for Singaporean’ dengan pelbagai tarikan ditawarkan bermula 15 April hingga 31 Dis tahun ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Promosi Pelancongan (BBP), Jabatan Ketua Menteri, sepanjang kempen itu dilaksanakan, sebanyak 13 pakej perlancongan ditawarkan dengan harga serendah SGD23 seorang.

Katanya, tawaran diskaun sehingga 50 peratus turut ditawarkan di tempat tumpuan pelancongan di Melaka bagi membolehkan pelancong Singapura menerokai keistimewaan negeri ini dengan harga berpatutan.

“Harga yang ditawarkan bagi tempat tarikan itu bermula serendah SGD4 seorang selain tawaran pembelian beli satu percuma satu sempena kempen terbabit,” kata kenyataan itu.

MUHAMAD Jailani (dua d ari kanan) dan Sa’ari (dua dari kiri) pada Roadshow Festival Pelancongan Melaka di JB Sentral di sini, hari ini.

Bagi mempergiatkan kempen itu diperluaskan kepada warga Singapura, BBP mengambil inisiatif itu dengan mengedarkan 10,000 unit bahan promosi dan pakej pelancongan kepada pelancong Singapura yang masuk melalui Johor menerusi Roadshow Festival Pelancongan Melaka.

Program berkenaan berlangsung selama dua hari bermula hari ini di JB Sentral yang turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan negeri Melaka bagi meraikan ketibaan pelancong republik itu di negara ini.

Hadir sama pada program berkenaan, EXCO Pelancongan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamisl; Pengurus Besar BBP, Sa’ari Basiron, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhamad Nasir Pahmi dan Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.

Dalam perkembangan sama, BPP memaklumkan dalam menuju ke fasa endemik, kerajaan negeri merancang untuk melaksanakan 61 aktiviti pelancongan sepanjang tahun ini.

“Dua belas daripada jumlah aktiviti itu adalah acara pelancongan utama, antaranya Pertandingan Pelita Panjut Nostalgia Raya 2022 yang diadakan bermula 5 hingga 23 Apr ini di Sungai Rambai.

“Selain itu, turut diadakan Festival Kuih Tradisional Melaka 2022 pada 24 April di RTC Sungai Rambai dan Dondang Dendang Raya Melaka 2022 pada 30 April di Taman Mini Malaysia,” katanya.

Katanya, semua program pelancongan itu dapat dinikmati oleh pelancong sekiranya berkunjung ke negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7

Share and Enjoy !

Shares
Previous post Mayat lelaki tanpa identiti dijumpai di tepi Jalan Sepang-Salak
Next post Kejadian tertarik langsir, punca Siti Bainun mula ‘naik hantu’, pukul Bella – Saksi