Melaka hantar bantuan banjir bernilai RM80,000 ke Pahang, esok

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 24 Dis – Misi Bantuan Mangsa Banjir negeri Melaka yang diketuai Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan bergerak menghantar pelbagai sumbangan makanan dan peralatan pembersihan berjumlah RM80,000 kepada mangsa banjir di Pahang esok.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada pejabat Setiausaha kerajaan negeri Pahang untuk memasuki negeri itu bagi mengedarkan pelbagai sumbangan daripada rakyat Melaka dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Menurutnya, seramai 33 petugas akan menyertai misi bantuan tersebut beserta lapan kenderaan termasuk sebuah treler dan beberapa lori tiga tan mengandungi pelbagai jenis barangan keperluan.

“Pelbagai jenis barangan keperluan harian seperti makanan kering, peralatan set pembersihan rumah dan lampin pakai buang dengan nilai keseluruhan berjumlah RM80,000 berjaya dikumpulkan dan akan diedarkan kepada mangsa banjir di Pahang nanti,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Terdahulu, beliau menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat dan orang persendirian yang menyumbang barangan di pusat pengumpulan MPHTJ di lobi Melaka Mall hari ini.

Antara yang tampil menyumbang ialah pasaraya besar Mydin, Lion Group, Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Majlis Datuk-Datuk Melaka dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

“Syarikat Mamee juga tidak ketinggalan menyumbang pelbagai jenis barang makanan kering melalui dua buah lori dan akan turut serta dalam misi menghantar sumbangan kepada mangsa banjir di Pahang, esok.

“Penyumbang dari Majlis Datuk-Datuk Melaka juga memberi barangan cucian dan peralatan lampin pakai buang yang kesemuanya berjumlah RM10,000,” ujarnya.

SEBAHAGIAN penyumbang yang terdiri daripada syarikat korporat dan orang persendirian bagi membantu meringankan penderitaan yang dialami oleh mangsa di Pahang ketika ini.

Menurutnya, orang perseorangan bergelar Datuk juga tampil menyumbang barangan kering dan pelbagai barang keperluan dalam sebuah treler yang akan tiba esok.

Beliau turut memuji semangat kekeluargaan dan keperihatinan yang tinggi ditunjukkan oleh para penyumbang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum di negeri ini untuk sama-sama membantu meringankan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa banjir.

“Semangat Keluarga Malaysia jelas terpampang pada wajah setiap penyumbang yang benar-benar prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir pada masa ini, ” katanya.

Pelepasan Misi Bantuan Mangsa Banjir negeri Melaka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di perkarangan Seri Negeri, Ayer Keroh, esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

727
Kongsi :
Previous post Cuti KSU, Ketua Pengarah dibatalkan serta-merta – KSN
Next post Banjir: Mangsa di Melaka hanya tinggal 37 orang
Ubah saiz-+=