Melaka jemput anak muda hadir pembentangan Bajet Melaka 2023

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER LIMAU 20 Oktober – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum menyeru kepada mana-mana kumpulan mahupun persatuan anak muda termasuk sekolah untuk hadir dalam Pembentangan Belanjawan Melaka 2023 dijangka pada Disember depan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuka peluang sewajarnya kepada golongan berkenaan bagi memberi pendedahan dalam proses pembentangan usul yang dibahaskan dalam DUN Melaka.

“Saya alu-alukan, kalau boleh jangan individu tapi sebaiknya biarlah berpersatuan khususnya (membabitkan) anak muda, itu memang saya amat galakkan.

“Saya buka peluang ini kepada sesiapa saja termasuklah dalam kalangan pembangkang mahupun penyokong kerajaan. Kita buka peluang ini kepada anak muda kerana ingin memberi pengalaman sebenar kepada mereka.

“Kita tak mahu lagi ada anak muda merapu tak tentu arah, tak tahu bagaimana proses perundangan negeri, mereka kena tahu dan ini lebih baik mereka datang kerana jika ajar pun separuh jalan jadi ada baiknya mereka dapatkan pengalaman secara terus menerus untuk menyaksikan apa yang berlaku di depan mata mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Cambah Minda: Pertandingan Debat dan Pidato Kenegaraan Dun Ayer Limau di Dewan Tan Sri Dr. Abu Seman, Paya Rumput, Masjid Tanah di sini hari ini.

Hadir sama, Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Adun Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin, Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah, Pengarah JaPen Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata bagi mana-mana pihak yang berminat menyertai pembentangan itu perlu mengemukakan surat kepada Pejabat DUN Melaka sebelum bajet itu diumumkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan.

“Mereka kena mohon kepada dan perlu dapatkan keizinan dari Pejabat DUN Melaka.

“Kita jangkakan pembentangan ini dijangka pada bulan Disember kerana untuk memberi peluang kepada PRU15 yang diadakan pada bulan hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1570
Kongsi :
Previous post Najib tidak dibenar keluar kenyataan dari penjara
Next post Agong seru calon, penyokong parti politik berhemah sepanjang tempoh kempen PRU15
Ubah saiz-+=