Melaka kaji tetapkan had tapak perniagaan di bazar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

MACHAP JAYA 20 April – Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan untuk menetapkan had tapak perniagaan di bazar Ramadan bagi mengelakkan ia tertumpu hanya di satu lokasi sahaja.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kejadian sama seperti Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah yang tidak mendapat sambutan apabila hanya disertai tiga peniaga berbanding 160 khemah yang disediakan.

Sulaiman berkata, kajian menetapkan had khemah itu bukan sahaja memberi keadilan kepada penganjuran bazar di kawasan kurang mendapat sambutan, tetapi ia juga penting untuk mengurangkan risiko kesesakan pengunjung sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Mengambil contoh Bazar Ramadan Dataran Klebang yang difahamkan disertai lebih 300 peniaga setakat ini, Sulaiman berkata pihaknya sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta penganjur untuk menghentikan pengambilan peniaga baharu bagi mengelakkan timbul masalah di kemudian hari.

“Sekarang kita dah buat kajian, untuk satu-satu bazar Ramadan itu mestilah tidak melebihi 200 khemah peniaga. Jadi seperti di Klebang kita sudah arahkan tiada lagi peniaga baharu.

“Kalau ada peniaga baharu nak masuk, saya minta pergilah ke Bazar Jalan Hang Tuah atau tempat-tempat lain. Jadi pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu pantau perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 150 warga Parlimen Alor Gajah bertempat di Japerun Machap, hari ini.

Sulaiman berkata, setakat ini hanya Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah sahaja yang dilaporkan tidak mendapat sambutan di negeri ini, manakala penganjuran bazar-bazar di lokasi lain berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Setakat ini hanya itu (Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah) sahaja yang kurang berjaya. Sepatutnya bila nama Jalan Hang Tuah ia patut jadi lebih hebat tetapi mungkin disebabkan kurang promosi dan tiada pengalaman daripada penganjur membuatkan ia tidak dapat sambutan.

“Apapun, saya minta mana-mana penganjur yang ingin menganjurkan apa jua bazar selepas ini khususnya di Jalan Hang Tuah agar lebih berhati-hati. Jangan main terjun sahaja tanpa ada sebarang pengalaman,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

950
Kongsi :
Previous post 150 warga Alor Gajah terima sumbangan Ramadan
Next post 104,000 pekhidmat rumah tangga bakal terima manfaat perluasan perlindungan keselamatan sosial
Ubah saiz-+=