104,000 pekhidmat rumah tangga bakal terima manfaat perluasan perlindungan keselamatan sosial

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LUMPUR 21 April. – Peluasan perlindungan keselamatan sosial di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) kepada pekhidmat rumah tangga di seluruh negara dijangka dilaksanakan mulai 1 Jun depan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata, inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada seramai 104,000 pekhidmat rumah tangga merangkumi 15,000 orang warganegara dan pemastautin tetap serta 89,400 pekerja warga asing.

Katanya pekhidmat rumah tangga warganegara dan pemastautin tetap yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), akan dilindungi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4, serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800.

SARAVANAN berucap pada Majlis Iftar Perkeso. Foto Kementerian Sumber Manusia

“Bagi pekhidmat rumah tangga warga asing, mereka akan dilindungi oleh Skim Bencana Kerja di bawah Akta 4.

“Kadar bayaran caruman oleh majikan dan pekerja akan mengikut kadar caruman semasa yang terpakai di bawah Akta 4 dan Akta 800,” katanya dalam sidang media semasa Majlis Iftar Perkeso di sini semalam.

Menurutnya peluasan itu membolehkan pekhidmat rumah tangga yang selama ini terkecuali daripada Akta 4 dan Akta 800 mendapat perlindungan keselamatan sosial, sama seperti golongan pekerja yang lain.

 WARIS orang berinsurans menerima duit raya dan hamper daripada Saravanan.- Foto Kementerian Sumber Manusia

Beliau berkata Perkeso akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam masa terdekat bagi menjelaskan langkah itu sebelum ia dilaksanakan.

Sementara itu, Saravanan berkata jumlah pembayaran faedah Perkeso menunjukkan trend meningkat setiap tahun seiring dengan perluasan jaringan keselamatan sosial dan penambahbaikan faedah.

Katanya, tahun lalu Perkeso membayar faedah berjumlah RM4.25 bilion berbanding RM4.2 bilion pada 2019 dan RM3.8 bilion (2018).

“Jumlah ini adalah peningkatan daripada RM3.6 bilion pada 2017 dan RM3.3 bilion pada 2016.

“Saya harap orang ramai khususnya golongan pekerja sedar akan kepentingan mencarum dengan PERKESO.

“Walaupun jumlah caruman yang dibuat setiap bulan tidaklah sebesar mana, namun caruman inilah yang akan membantu mereka sekiranya ditimpa musibah termasuk kehilangan pekerjaan,” katanya.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan bayaran faedah Perkeso berjumlah kira-kira RM600,000 kepada 13 penerima faedah, selain duit raya dan hamper kepada waris Orang Berinsurans Perkeso, 19 balu dan 19 anak yatim dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post Melaka kaji tetapkan had tapak perniagaan di bazar Ramadan
Next post AKSEM Perlis rampas mercun dan bunga api seludup bernilai RM12,299
Ubah saiz-+=