Melaka kurangkan birokrasi berkait kemudahan di sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 18 Mei – Kerenah birokrasi dalam aspek kemudahan dan fasiliti pendidikan di negeri ini akan dipantau dan ditambah baik Kerajaan Negeri.

Hal itu turut merangkumi kemudahan pendidikan di sekolah rendah agama (SRA) di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai rakaman video tular membabitkan sebuah SRA di Ayer Merbau, Merlimau, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, SRA berkenaan merupakan sebuah sekolah baharu di daerah Jasin yang mana kemudahannya telah 95 peratus lengkap.

Bagaimanapun, ujar beliau, disebabkan berlaku pertambahan murid, sekolah yang pada awalnya mempunyai 20 kelas terpaksa ditambah satu lagi kelas menyebabkan berlakunya kekurangan kerusi dan meja.

“Cuma satu kelas sahaja yang belum lengkap dengan kemudahan seperti kerusi dan meja untuk murid disebabkan ia kelas baharu yang ditambah bagi memberi keselesaan kepada murid yang ramai.

“Namun tidak dinafikan, ada kerenah birokrasi yang perlu ditambah baik memandangkan sehingga Mei, kelas berkenaan masih belum menerima kemudahan kerusi dan meja.

“Jadi, Kerajaan Negeri akan melihat dan memantau (ruang) penambahbaikan terhadap masalah ini memandangkan peruntukan telah diluluskan sejak Disember tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka 2023, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menasihati agar kedua-dua pihak yang terbabit dengan pertikaian menerusi satu rakaman video tular itu dapat mencari titik keharmonian bagi mengelakkan pandangan negatif masyarakat.

“Saya berharap (hubungan) di antara Pegawai JAIM dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkaitan dapat dimurnikan dengan bijaksana dan bukannya dengan jawapan sindiran dan emosi. Ia bagi mengelakkan pandangan serong masyarakat terhadap kedua-dua pihak terlibat.

“Saya juga memberi jaminan kepada ibu bapa agar tidak gusar. Bukan semua sekolah di bawah JAIM ini berada dalam kedaifan seperti yang ditularkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1466
Kongsi :
Previous post MAIM belanja RM35.2 juta dana zakat bantu asnaf
Next post Kutipan zakat Melaka RM66.9 juta setakat Mei – KM
Ubah saiz-+=