MAIM belanja RM35.2 juta dana zakat bantu asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDA HILIR 17 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membelanjakan sejumlah RM35.2 juta dana zakat kepada golongan asnaf yang memerlukan setakat Mac tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebanyak lapan golongan asnaf yang berhak dan layak dibantu telah menerima agihan zakat berkenaan.

Katanya, menerusi program pengagihan bantuan seumpama itu, ia sekali gus dapat memberi galakan dan dorongan kepada asnaf memajukan kehidupan masing-masing.

“Atas inisiatif pengagihan bantuan dan program-program ini, seramai tujuh daripada golongan asnaf menerima manfaat termasuk empat daripadanya berjaya meningkatkan taraf hidup mereka dengan menceburi bidang keusahawanan.

“Inilah hala tuju dan misi yang perlu Zakat Melaka dan MAIM laksanakan dan tidak hanya bergantung kepada sumber bantuan. Syabas saya ucapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka 2023, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu serta kenamaan lain.

Mengikut rekod, sehingga 31 Disember 2023, MAIM telah membelanjakan sebanyak RM134.4 juta kepada golongan asnaf yang layak di Negeri Melaka melalui pelbagai skim bantuan dan agihan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

200
Kongsi :
Previous post Perhilitan Melaka pasang perangkap buaya
Next post Melaka kurangkan birokrasi berkait kemudahan di sekolah
Ubah saiz-+=