Kutipan zakat Melaka RM66.9 juta setakat Mei – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 18 Mei – Zakat Melaka berjaya mengutip RM66.9 juta bayaran zakat setakat Mei tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata jumlah terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 4.94 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM63.7 juta.

Beliau yang juga Pengerusi Zakat Negeri Melaka berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan RM135 juta kutipan zakat sepanjang tahun ini.

“Kita sasar RM135 juta pada tahun ini berbanding nilai pada tahun lalu sebanyak RM128.3 juta.

“Ini merupakan sasaran kutipan zakat secara keseluruhan meliputi kutipan Zakat Fitrah dan Zakat Harta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka 2023 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, peningkatan yang ditunjukkan itu memberi gambaran bahawa kesedaran membayar zakat dalam kalangan masyarakat di negeri ini semakin meluas.

“Kesedaran ini dapat dilihat menerusi kutipan bayaran Zakat Fitrah yang menunjukkan peningkatan sebanyak 7.41 peratus berbanding tahun lalu.

“Besar harapan saya agar Zakat Melaka terus komited dan berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan kutipan zakat dari semasa ke semasa untuk dimanfaatkan dan diagihkan sepenuhnya kepada golongan asnaf yang berhak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post Melaka kurangkan birokrasi berkait kemudahan di sekolah
Next post Elak memancing, berada di tebing sungai
Ubah saiz-+=