Melaka lancar Pelan Induk M-WEZ esok

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 10 April – Kerajaan Negeri Melaka akan melancarkan Blueprint Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) esok di sini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali akan melancarkan Pelan tersebut, yang merupakan asas kepada pembangunan jangka panjang koridor ekonomi negeri ini dan dijangka menawarkan 10,000 pekerjaan setiap tahun.

Majlis pelancaran Blueprint ini adalah genap setahun Sulaiman melancarkan M-WEZ, yang disifatkan sebagai “game changer” dan “economic enabler” bagi Melaka, di satu majlis di Kuala Lumpur tahun lepas.

Blueprint memperinci pembangunan koridor ekonomi laut berimpak tinggi di kawasan persisiran pantai negeri ini. Ia akan menjadi rujukan segala perancangan di kawasan seluas 10,117 hektar, bermula dari Pantai Puteri sehingga Umbai di sepanjang 33 km pesisir pantai, lebih sistematik.

Pelancaran itu akan dilakukan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri, di sini bermula jam 8.30 pagi. Ia akan disiarkan secara langsung melalui Facebook Kerajaan Negeri, Ketua Menteri dan Melaka Hari Ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar berkata, Bluerprint itu diedarkan kepada semua pihak berkaitan untuk dijadikan rujukan bagi pembangunan koridor berkenaan.

“Blueprint itu yang mengandungi ‘masterplan’ yang mana kita telah sediakan dalam bentuk buku untuk diedarkan kepada jabatan dan konsultan serta pihak berkaitan untuk pembangunan M-WEZ.

“Simbolik pelancaran akan diadakan ketika majlis perhimpunan berkenaan dan akan disempurnakan sendiri Ketua Menteri,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Sejak dilancarkan April tahun lepas, M-WEZ telah menerima banyak cadangan daripada para pelabur di dalam dan di luar negeri untuk melabur pelbagai projek di kawasan tersebut.

Dalam ucapan beliau semasa membentang Bajet Melaka 2022, Sulaiman berkata koridor M-WEZ dilihat sebagai pemangkin ekonomi baharu bakal memberi kesan peningkatan ekonomi kepada pembangunan kawasan setempat.

Katanya, Kerajaan Negeri mensasarkan pelaburan berimpak tinggi bernilai 100 bilion ringgit yang seterusnya akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK Negeri Melaka sebanyak 5 peratus atau 2 bilion ringgit setahun.

Katanya, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan baharu dijangka akan diwujudkan, sekaligus dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat serta menurunkan kadar pengangguran negeri;

Kepelbagaian sektor ekonomi di kawasan M- WEZ akan membolehkan kutipan hasil diperolehi menerusi konsesi tambakan laut.

Berdasarkan Blueprint M-WEZ, terdapat seluas 6,400 ekar kawasan yang belum ditambak untuk dibangunkan oleh bakal konsesi dengan nilai jangkaan hasil sebanyak 512 juta ringgit.

Pembangunan tanah kerajaan sedia ada yang diserahkan oleh konsesi adalah berpotensi untuk dibangunkan menerusi inisiatif penswastaan dengan jangkaan nilai pulangan sebanyak 100 juta ringgit.

Kedudukan strategik negeri di perairan Selat Melaka, ekonomi maritim akan diperkukuhkan melalui cadangan pembangunan pelabuhan yang baharu.

Pengendalian aktiviti ekonomi maritim seperti ‘ship-to-ship’ serta perkhidmatan sokongan lain akan mampu menjana ekonomi negeri dengan lebih aktif.

Perancangan pembangunan M-WEZ Cruise City akan memperkukuhkan negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan cruise bagi memenuhi permintaan golongan T20, kata Sulaiman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2081
Kongsi :
Previous post ‘Light City’ konsep baharu bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah
Next post Remaja bunuh suami terlepas hukuman gantung
Ubah saiz-+=