‘Melaka luar biasa sekali’

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

BANDA HILIR 28 Jun – Hasrat murni untuk mengangkat muzik tradisional rakyat seperti kompang dan rebana membuatkan kami ‘jatuh hati’ kepada Melaka, kata Ketua Jurulatih Kumpulan Daerah (Kabupaten) Labuhanbatu Utara, Medan Indonesia, Idris Aritonang, 36.

Kumpulan berkenaan merupakan juara kategori umum dan persembahan terbaik pada Pertandingan Kompang dan Persembahan Rebana Nusantara bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), di Pavillion Melaka, di sini, baru-baru ini.

Idris berkata, walaupun berasal dari negara seberang, namun dia dan kumpulannya berbangga melihat Malaysia khususnya Melaka mempunyai usaha untuk memartabatkan seni berzaman itu apalagi ia mendapat sambutan luar biasa dari negara-negara nusantara.

“Melaka luar biasa sekali. Pertandingan seumpama ini memang bagus kerana ini juga sebahagian daripada syiar Islam iaitu menyatupadukan rakyat serta meraikan perbezaan.

“Misalnya kita lihat, Indonesia mempunyai ciri khas dalam seni mereka. Singapura ada keistimewaannya tersendiri. Melaka juga menunjukkan budaya yang menarik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Idris menyifatkan ia merupakan hadiah termanis buat mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di Melaka.

“Tidak sia-sia kami berlatih bersungguh-sungguh dan ‘berkampung’ di sini. Alhamdulillah, ini rezeki merantau di negara orang.

“Kami berasa tenang di Melaka, kemudahannya banyak dan orangnya ramah sekali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

144
Kongsi :
Previous post PLANMalaysia peruntuk RM16 juta kepada enam PBT
Next post Bersama jayakan Kajian Rancangan Tempatan MPHTJ
Ubah saiz-+=