Melaka lulus penubuhan Perbadanan M-WEZ

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 22 Sept. – Rang undang-undang penubuhan Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) diluluskan oleh sidang Dewan Undangan Negeri hari ini selepas perbahasan.

Seramai 16 Ahli DUN menyokong dan 11 tidak menyokong rang undang-undang melalui undian dengan mengangkat tangan. Seorang lagi tidak hadir. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, ketika menggulung perbahasan, berkata penubuhan perbadanan itu tidak akan memberi beban kewangan kepada kerajaan negeri.

Sebaliknya, koridor tersebut, yang telah dipersetujui oleh Majlis Perancang Fisikal Negara secara dasar, dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan dan ekonomi Melaka.

Katanya, projek-projek tambakan laut di bawah pembangunan M-WEZ bukanlah perkara luar biasa. Pembangunan yang sama dibuat oleh Singapura dan Pulau Pinang.

Semasa membentang rang undang-undang tersebut, Sulaiman berkata Perbadanan M-WEZ akan menjadi agensi tonggak pembangunan koridor ekonomi berimpak tinggi di sepanjang 33 km di persisiran pantai Melaka.

Beliau menyifatkan M-WEZ sebagai “Game-Changer” dan “Big Move” untuk melonjakkan ekonomi Melaka dan negara.

“Ingin saya nyatakan bahawa M- WEZ adalah penting bagi masa hadapan Melaka. Usaha yang sedang giat kita jalankan ini bakal diwarisi oleh anak-anak, cucu keturunan kita nanti.

“Ia bukan sekadar projek tambakan biasa yang bertujuan untuk spekulasi hartanah semata-mata,” katanya.

Sebaliknya, jelas beliau M-WEZ bertindak sebagai pemangkin baharu ekonomi Melaka, yang akan mentransformasi Melaka sebagai negeri yang berdaya saing dan berdaya huni.

Koridor yang berorientasikan maritim dijangka menarik pelaburan sebanyak RM100 bilion dalam masa 15 tahun dan menawarkan 5,000 pekerjaan baharu setiap tahun.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post Program pemberian vaksin remaja lancar
Next post Belanjawan 2022: KDN mohon RM10 juta rancakkan aktiviti pulih penagih dadah-Hamzah
Ubah saiz-+=