Melaka mahu perkukuh pusat latihan untuk keperluan industri

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PENGKALAN BATU 27 Jun – Dalam melahirkan lebih ramai pekerja mahir, separa mahir dan berpengetahuan luas, Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bagi memperkukuh dan memperkasa pusat latihan di negeri ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, terdapat tiga inisiatif atau jalinan kerjasama boleh dijalankan bagi mencapai matlamat memenuhi keperluan pelabur.

Jelasnya, inisiatif pertama ialah memperkenalkan lebih banyak kursus latihan yang relevan dengan keperluan industri semasa dan masa depan.

Tambah beliau, ia termasuklah kursus dalam bidang teknologi tinggi, kejuruteraan, dan sains data yang dapat membantu pekerja menguasai kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi yang semakin didorong oleh teknologi.

“Inisiatif kedua, kita boleh membangunkan program latihan yang disesuaikan untuk pekerja separa mahir yang merangkumi latihan praktikal di tempat kerja dan pembelajaran berasaskan projek yang memberikan pengalaman hands-on kepada peserta.

“Dengan ini, pekerja separa mahir dapat meningkatkan kemahiran mereka dan menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

“Manakala, inisiatif ketiga, kita boleh memperluas akses kepada latihan melalui platform pembelajaran dalam talian yang membolehkan lebih ramai rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, untuk mendapat akses kepada peluang latihan yang berkualiti tanpa perlu meninggalkan kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Minggu Latihan Kebangsaan 2024 (NTW 2024) Edisi Wilayah Selatan Peringkat Negeri Melaka di Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC), Batu Berendam, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Wilayah Selatan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) Puviyan Thevar Thiagarajan; Pengarah Eksekutif MISDEC Haiqal Syukri Jantan dan lain-lain kenamaan.

Menurut Hee Sem, kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dengan KESUMA dan HRD Corp amat diperlukan bagi mempromosi kempen kesedaran secara meluas supaya lebih ramai rakyat dapat mengambil bahagian dalam program latihan.

“Bersama-sama, kita boleh menyediakan dana, sumber, dan kepakaran yang diperlukan untuk memastikan kejayaan program-program latihan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

105
Kongsi :
Previous post ‘Orang Jasin tukar barang buangan jadi duit’
Next post MPJ tangkap tujuh lembu terbiar
Ubah saiz-+=