Melaka mampu jadi penganjur program pelancongan antarabangsa – TPM

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

SUNGAI RAMBAI 3 Disember – Melaka mampu menjadi tuan rumah terbaik dalam penganjuran program pelancongan bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mewakili Timbalan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin dan percaya keyakinan kerajaan Persekutuan dan pihak luar terhadap Melaka.

Katanya, keyakinan itu adalah hasil daripada ketersediaan prasarana, hospitaliti, komitmen dan kecekapan kakitangan awam yang bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan kelancaran program berkenaan.

“Daripada lokasi tarikan pelancong, warisan, warisan peninggalan sejarah hinggalah ke keunikan asimilasi budaya serta tradisi rakyat di Melaka, saya pasti semua kelebihan ini akan menjadi tarikan kepada pelancong untuk datang serta menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan.

“Ia sekali gus menjadi titik tolak kepada keyakinan pelabur daripada dalam mahu pun luar negara untuk terus merancakkan ekonomi di bumi Hang Tuah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika menutup Karnival D’ Bendang Sungai Rambai, di Kampung Parit Penghulu Benteng, di sini hari ini.

Hadir  sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abd Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan kenamaan lain.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah WTD dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 mewakili Malaysia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sepakat memilih negara ini sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu.

WTD 2025 dijadual berlangsung pada 27 September 2025, bertemakan `Tourism and Sustainable Transformation’.

Pada Perhimpunan Agung UNWTO Ke-25 di Samarkand, Uzbekistan pada 16 hingga 20 Oktober lalu, Malaysia terpilih sebagai tuan Hari Pelancongan Sedunia 2025 sebelum Kementerian Pelancongan (MOTAC) menamakan Melaka sebagai lokasi penganjuran program berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pada tahun lalu Melaka menerima kehadiran 6.04 juta pelancong berbanding 2.7 juta dalam tempoh yang sama pada 2021.

Katanya, daripada jumlah itu,  seramai 5.637 juta adalah pelancong domestik dan 406,517 adalah pelancong asing.

“Berdasarkan data ini membuktikan Melaka adalah antara destinasi pilihan utama khususnya bagi pelancongan domestik yang menyumbang enam peratus daripada pelancongan domestik negara.

“Pada tahun hadapan, kerajaan negeri menerusi inisiatif Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menyasarkan kedatangan pelancong dan pengunjung ke Melaka antara 15 hingga 18 juta orang.

“Insya-Allah saya yakin dengan usaha daripada semua pihak dengan sokongan terhadap segala program pelancongan, seni dan budaya Melaka, negeri lima pahlawan bersaudara ini akan terus dibanjiri pelancong.

“Ia sekali gus menjadikan Melaka muncul sebagai sebuah negeri yang hebat dan terbilang sebagaimana semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

846
Kongsi :
Previous post Polis kesan lelaki tikam peniaga makanan di Ipoh
Next post Ketengahkan produk pelancongan baharu di setiap daerah di Melaka – KM
Ubah saiz-+=