Melaka mohon buka semula penerbangan Melaka-Pekanbaru

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PEKANBARU 9 Jun – Kerajaan Negeri Melaka memohon Kerajaan Republik Indonesia agar membuka segera penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II, Pekanbaru.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pembukaan penerbangan antarabangsa khusus Melaka ke Pekanbaru itu sangat penting memandangkan ia mendapat permintaan tinggi dalam sektor pelancongan kesihatan.

Ia dibuktikan dengan data tahun 2019 yang menunjukkan Indonesia menjadi pasaran terbesar pelancong asing yang datang ke Melaka iaitu seramai 552,813 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 100,234 orang daripada 136,361 orang bagi keseluruhan pelancong kesihatan asing yang mendapatkan rawatan di Melaka bagi tahun 2019 adalah terdiri daripada pelancong kesihatan Indonesia.

“Ini merupakan satu potensi yang besar di mana Indonesia merupakan pasaran pelancong kesihatan yang paling menonjol, di mana mereka mendapatkan rawatan di empat buah hospital pakar di Melaka iaitu Putra Specialist Hospital, Mahkota Medical Centre, Hospital Pantai dan Oriental Melaka Straits Hospital.

“Di Melaka, kita mempunyai kepakaran dari segi perubatan dan kos rawatan di Melaka adalah separuh lebih rendah berbanding kos di Singapura dan Jakarta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka di Atrium Kampar, SKA Mall, Pekanbaru, hari ini.

Hadir sama Gubernur Provinsi Riau Dr Syamsuar, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka Muhammad Jailani Khamis dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Sulaiman turut berharap kerjasama erat di antara Melaka dan Provinsi Riau khususnya Pekanbaru dapat terus diperkukuh dalam usaha merancakkan pelancongan di antara Riau dan Melaka.

“Bagi Negeri Melaka, pembukaan terminal feri di antara Dumai dan Melaka merupakan satu langkah yang baik bagi merancakkan semula industri pelancongan (pariwisata) kedua-dua negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1102
Kongsi :
Previous post Teater Muzikal Ali Baba ditayangkan mulai esok
Next post Tiada lagi transaksi tunai di Pupaskom mulai 1 Julai
Ubah saiz-+=