Sorting by

×

Teater Muzikal Ali Baba ditayangkan mulai esok

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Orang ramai dialu-alukan untuk memeriahkan pementasan Teater Muzikal Ali Baba yang akan ditayangkan dua hari mulai esok dan Sabtu ini di Auditorium Panggung Sari, Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Melaka.

Teater arahan Lokman Ghani yang sebelum ini pernah ditayangkan di Istana Budaya pada tahun 2012 telah diangkat semula bagi memartabat karya agung Seniman Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan bermasyakat.

Lokman berkata, teater muzikal yang dibintangi hampir separuh daripadanya merupakan artis cilik dari Pertubuhan Teater Negeri Melaka ( PERTEM) sekali gus mampu mencungkil bakat seni baharu dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

Beliau berkata, persembahan julung kali diadakan di negeri ini dan ia dibarisi oleh pelakon yang rata-ratanya pertama kali menceburkan diri dalam pementasan teater.

“Saya bersyukur kerana PERTEM telah mengambil pendekatan ini untuk beri pendedahan bahawa teater bukan hanya semata untuk menjadi pelakon tapi kita perlu didik anak-anak ini berani berdepan masyarakat mahupun penonton.

“Kerana akhirnya tahap keyakinan mereka bertutur dikhalayak ramai suatu hari nanti akan menjadi daya penarik bagi mereka berdepan dengan pelbagai perkara seperti berpidato dan pengucapan awam yang lain.

“Anak-anak perlu dididik dengan cara seperti ini tapi ramai yang anggap berlakon hanya untuk mengejar populariti namun sebaliknya kita perlu didik mereka untuk bijak bertutur,” katanya kepada pemberita.

PENGLIBATAN artis cilik mampu mendidik keyakinan anak sekolah yang pertama kali menyertai pementasan itu.

Teater muzikal berdurasi hampir dua jam itu turut dibintangi seniman terkenal tanah air antaranya, Datuk Jalaludin Hassan, Aziz M. Osman dan cucu seniman P Ramlee, Najua Nasir serta ramai lagi.

Teater berkenaan turut menghimpunkan seramai 60 artis membabitkan warga JKKN, PERTEM dan beberapa murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lesung Batu, Alor Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh.

Pementasan akan ditayangkan bermula jam 8.30 malam esok diikuti dua slot pementasan pada Sabtu jam 3.30 petang dan 8.39 malam.

Tiket boleh didapati dengan harga RM10 dan RM30 malah pembelian boleh dilakukan di atas talian dengan menghubungi nombor +6017-6632544.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1881
Kongsi :
Previous post Sulaiman hadir Festival Semarak Pelancongan Melaka di Pekanbaru
Next post Melaka mohon buka semula penerbangan Melaka-Pekanbaru
Ubah saiz-+=