Melaka mohon tambahan bekalan dos vaksin COVID-19

0
825
SULAIMAN ketika meninjau proses vaksinasi warga emas di PPV Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR di Alor Gajah. Foto fail.

SERI NEGERI 28 Jun – Kerajaan negeri akan memohon kepada kerajaan pusat agar menambah bekalan dos vaksin yang diperuntukkan kepada negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia susulan bekalan dos vaksin yang diterima ketika ini masih tidak mencukupi memandangkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sudah dibuka di seluruh negeri.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan menulis surat kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Saya berharap permohonan mendapatkan bekalan vaksin tambahan itu akan mendapat maklum balas positif ke arah mencapai sasaran 70 peratus rakyat negeri ini selesai divaksin menjelang hujung tahun,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri turut meletakkan sasaran menjadi antara negeri terawal mencapai imuniti berkelompok dan sekiranya tercapai Melaka bakal dijadikan rujukan dalam pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial.

“Melaka sebuah negeri yang kecil, jadi kalau boleh kita mahu negeri ini menjadi negeri pertama mencapai tahap 70 peratus rakyatnya divaksin sekali gus dapat menjadi rujukan kepada negeri-negeri lain.

“Apabila sesebuah negeri sudah mencapai imuniti berkelompok, maka kita dapat segera memulihkan ekonomi dan pintu sempadan juga dapat dibuka,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.