Melaka pun ada jalan ‘glow in the dark’

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 7 Disember – Aspek keselamatan di tiga laluan yang dikategorikan sebagai gelap dinaik taraf dengan penggunaan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat ini projek perintis dilaksanakan di Jalan Kemuning-Hutan Percha, Jalan Tehel-Bukit Katil dan Serkam.

Mengulas lanjut perkembangan inisiatif itu, Hameed berkata setakat ini ketiga-tiga projek berkenaan sedang dalam peringkat ujian dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka aktif menguar-uarkan panduan keselamatan kepada pengguna.

Whatsapp Image 2023 12 07 At 1.41.14 Pm
HAMEED bersama Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman dan kakitangan JKR meninjau garisan jalan bercahaya dalam gelap atau ‘glow in the dark’. Foto Jabatan Kerja Raya Melaka

“Penggunaan garisan bercahaya dalam gelap ini membabitkan jarak 500 meter bagi setiap laluan dan diharap usaha berterusan Kerajaan Negeri menerusi JKR dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Sepanjang tempoh percubaan ini kita mahu lihat impak dan keberkesanannya. Inovasi ini juga mampu menjimatkan kos penyelenggaraan berbanding memasang lampu jalan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, jika hasil kajian menunjukkan kesan memberansangkan, inovasi yang kini dilaksanakan di laluan dalam daerah Alor Gajah dan Jasin akan diperluaskan ke seluruh Negeri Melaka.

“Alhamdulillah, setakat ini kita menerima maklum balas positif daripada pemandu dan penunggang yang menggunakan laluan itu, garisan bercahaya menjadi penduan bagi mereka pada waktu malam. Tetapi kita juga perlu lihat daripada aspek keberkesanannya sebelum inisiatif ini diperluaskan lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

11832
Kongsi :
Previous post Hina Melayu: Mak Cik Kemboja, anak mengaku tidak bersalah
Next post Terus perkasa TVET di Melaka
Ubah saiz-+=