Terus perkasa TVET di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 7 Disember – Majlis (TVET) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) negeri akan memainkan peranan lebih besar dan aktif dalam usaha memperkasakan lagi kualiti bidang kemahiran di Melaka.

Timbalan Pengerusi Majlis TVET negeri, Razali Johari berkata antara agenda yang dilaksanakan adalah dengan mempelbagaikan lagi program atau kursus yang berteraskan kemahiran.

Katanya, penganjuran Karnival TVET baru-baru ini juga antara acara utama bagi menarik masyarakat mengenali program berteraskan kemahiran yang ditawarkan menerusi 18 institusi ada di negeri ini.

“Agenda kami ketika ini adalah untuk menggerakkan pelbagai program yang direncanakan termasuk menerapkan aspek modal insan dalam program atau kursus TVET agar ia memberikan impak lebih berkesan kepada industri.

“Turut dirancang adalah mengenal pasti peluang kerjaya yang menawarkan kadar upah lebih lumayan kepada graduan TVET. Kami faham ramai lepasan sekolah memilih untuk bekerja atas alasan faktor ekonomi.

“Apabila dilaksanakan usaha ini secara tidak langsung menjadi penanda aras untuk mereka mencari ilmu dalam TVET,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Razali yang juga Pengarah Politeknik Melaka berkata, pihaknya kini dalam usaha memantapkan lagi kursus ditawarkan menerusi kerjasama dengan institusi TVET lain di negeri ini.

“Kita mahu lebih ramai fahami apa itu TVET dan kelebihannya, jadi kami sedang atur program membabitkan pelajar sekolah. Pendekatan ini diharap mampu menggalakkan lebih ramai pelajar memilih TVET selepas tamat persekolahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

847
Kongsi :
Previous post Melaka pun ada jalan ‘glow in the dark’
Next post Buka kursus Paramedik Komuniti kepada persatuan, NGO
Ubah saiz-+=