Melaka negeri pertama diliputi rangkaian gentian optik TNB berkelajuan 1 Gbps

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDA HILIR 5 April. – Melaka menjadi negeri pertama diliputi rangkaian gentian optik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat subsidiarinya, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) sekali gus bakal meluaskan potensi capaian Internet jalur lebar berkelajuan sehingga 1 gigabit sesaat (Gbps).

Dengan tersedianya infrastruktur gentian optik itu ia mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman di negeri ini bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Antara kawasan di Melaka yang mendapat faedah infrastruktur itu ialah Alor Gajah yang menghubungkan 8,500 kediaman, Malim Jaya (4,400 kediaman), Ayer Keroh (500 kediaman) dan sekitar Jasin (2,500 kediaman).

Menurut Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid, menerusi kemudahan infrastruktur gentian optik itu, ia akan memberi peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka mendapat akses kepada Internet jalur lebar khususnya dalam dunia digital masa kini.

“Penyediaan infrastruktur ini secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.

“Tahniah diucapkan kepada rakyat Melaka dan kepimpinan negerinya kerana menjadi negeri pertama diliputi rangkaian gentian optik TNB. Melaka nampaknya ada keistimewaan tertentu apabila sering kali mendahului negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Perasmian Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar peringkat negeri Melaka yang disempurnakkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post Lebih 50,000 pelajar menengah kembali ke sekolah hari ini
Next post Enam remaja termasuk tiga pelajar sekolah dicekup berlumba haram
Ubah saiz-+=