Melaka pantau prestasi, pencapaian asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 9 Disember – Sejumlah RM1.1 juta diperuntukkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi pembangunan modal insan golongan asnaf di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, inisiatif itu memfokuskan kepada bantuan pendidikan, nilai diri anak asnaf dan Program Pendayaan Asnaf.

“Dengan adanya usaha ini ia secara tidak langsung memberi galakkan kepada asnaf supaya terus berusaha untuk mengubah nasib hidup mereka.

“Program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan untuk makluman program ini juga telah memberi manfaat kepada seramai 1,402 asnaf serta anak asnaf yang menyertainya.

“Jumlah keseluruhan asnaf di Melaka adalah seramai 8,158 orang yang mana mereka adalah penerima bantuan daripada MAIM terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi MAIM Tahun 2023 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan lain-lain kenamaan.

Katanya, MAIM juga telah menetapkan sasaran untuk terus memantau prestasi dan pencapaian asnaf berkenaan sepanjang tempoh mereka di bawah tanggunghawab MAIM.

“Untuk makluman, setakat ini seramai 8,404 penerima bantuan MAIM adalah anak-anak asnaf terdiri daripada golongan fakir iaitu seramai 224 orang dan asnaf miskin seramai 8,180 orang (bagi bantuan saraan sekolah),” katanya.

Pada Majlis itu turut diadakan penyampaian hadiah pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Turut disampaikan pada majlis itu, Anugerah Tokoh Pelajar Cemerlang SPM 2022, Anugerah Tokoh Pelajar Cemerlang STPM 2022 dan Anugerah Tokoh Usahawan MAIM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1015
Kongsi :
Previous post JPJ sedia pelbagai kemudahan pada program Setahun Bersama Kerajaan Madani
Next post Dedah ilmu agama kepada pelatih TVET
Ubah saiz-+=