JPJ sedia pelbagai kemudahan pada program Setahun Bersama Kerajaan Madani

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia kemudahan perkhidmatan pembaharuan lesen memandu Malaysia (CDL & PDL), pembaharuan lesen memandu vokasional (PSV & L), pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian/perdagangan pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Sekretariat Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI hari ini dalam kenyataan memaklumkan reruai JPJ juga turut menawarkan pengambilan dokumen CDL & LKM yang telah diperbaharui secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ dan pembayaran saman, kecuali bagi kes yang disenarai hitam.

Namun menurut kenyataan itu, tiada diskaun ditawarkan bagi saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman sehingga 50 peratus kecuali bagi saman kemalangan, kes mahkamah berstatus waran tangkap atau dibicara dan kesalahan yang tidak boleh dikompaun seperti tiada lesen memandu, pandu tidak cermat, lesen tamat tempoh dan tiada insuran,” menurut kenyataan itu.

Pembayaran saman PDRM itu boleh dibuat bermula semalam sehingga esok di tapak program, dan orang ramai dinasihat membuat semakan awal melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM, bagi melancarkan proses bayaran atau melayari www.malaysiamadani.gov.my dan platform media sosial rasmi Malaysia MADANI.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI berlangsung tiga hari di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini bermula semalam untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan, sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 Nov tahun lepas.

Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat, melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

894
Kongsi :
Previous post Perodua Axia AV tanda MBMB hargai pembayar cukai
Next post Melaka pantau prestasi, pencapaian asnaf
Ubah saiz-+=