Melaka perhalusi cadangan wajibkan saringan mingguan COVID-19 di sekolah berasrama – KM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 11 Dis – Cadangan mewajibkan saringan COVID-19 secara mingguan untuk guru dan kakitangan sokongan sekolah berasrama di negeri ini akan diperhalusi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ia susulan cadangan Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu mewajibkan semua guru, kakitangan dan pekerja swasta di sekolah berasrama penuh menjalani saringan RTK pada setiap minggu bagi mengurangkan risiko jangkitan ke atas pelajar di asrama.

Sulaiman berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun akan dibincangkan lebih lanjut menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada masa terdekat ini.

“Pada dasarnya kita boleh pertimbangkan cadangan tersebut. Namun kena buat perbincangan dengan lebih lanjut dan kita kena dapatkan laporan secara terperinci.

“Pada masa yang sama kita kena lihat implikasi kos logistik untuk saringan itu. Jika Dr Akmal selaku Exco Kesihatan boleh uruskan, pihak Jabatan Pendidikan Negeri mengalu-alukan cadangan itu.

“Saya juga perlu melihat laporan keadaan semasa penularan COVID-19 kerana setakat ini kita hanya menerima rekod penularan di sebuah asrama di Selandar sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Jubli Emas Hari Guru peringkat Negeri Melaka di Hotel La Crista, sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan Datuk Rais Yasin dan Pengarah Pendidikan Negeri Dr Mohd Azam Ahmad.

Dalam program itu, Sulaiman turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka kepada tiga penerima iaitu Datuk Md Rashid Hussin, Abdul Rani Embi dan Tan Cheng Kwang.

MENYAMPAIKAN Anugerah Tokoh Guru sempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka 2021.

Manakala, seramai 25 guru telah menerima beberapa anugerah iaitu Anugerah Ikon, Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Guru Inovatif, selain 20 lagi menerima Anugerah Khas Pengarah JPN Melaka.

Untuk rekod, majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri itu sepatutnya diadakan pada Mei lalu, namun ia terpaksa ditunda susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan semula.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1055
Kongsi :
Previous post Kerajaan lepasi sasaran sedia 500,000 peluang pekerjaan – PM
Next post Diskaun saman JPJ dilanjut sehingga 15 Dis
Ubah saiz-+=