Melaka perlu lebih banyak sekolah agama baharu

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 14 Mei – Kerajaan Persekutuan diminta untuk mempertimbangkan dan menyegerakan pembinaan lebih banyak sekolah rendah agama baharu di Negeri Melaka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu perlu disegerakan berikutan jumlah kemasukan murid ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semakin meningkat setiap tahun.

Menurutnya, selain itu ia juga bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada murid berikutan masih ada SRA JAIM yang terpaksa berkongsi kelas dan bangunan dengan Sekolah Kebangsaan (SK) disebabkan kapasiti murid yang ramai.

“Berikutan itu kita mohon Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan permohonan ini, dapatlah sediakan sekolah dengan kelas lebih selesa dan tidak perlu lagi berkongsi kemudahan dengan SK.

“Setakat ini kita memohon pembinaan 28 buah sekolah baharu kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) iaitu ‘Rolling Plan’ kelima.

“Disebabkan peningkatan ini sebanyak 32 buah daripada 192 sekolah agama di Melaka terpaksa berkongsi bangunan dengan SK membabitkan seluruh daerah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), Syahadah Ibtidaiah Arabiah (SIA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023 diadakan di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulazlee Mohamad; Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Hazarudin Badarudin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Abd Khawi Che Abd Rahman.

Terdahulu, seramai 103 murid dan pelajar cemerlang UPKK, SIA serta STAM menerima pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri disampaikan Rahmad.

Beberapa penerima kategori utama turut diraikan antaranya Anugerah Nilam UPKK mengikut daerah; Anugerah Pelajar Terbaik UPKK Negeri Melaka; Anugerah Sekolah Terbaik Gred Purata Sekolah (GPS) dan Anugerah Sekolah Terbaik Peratus 8A UPKK.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata Melaka telah merekodkan peningkatan kemasukan murid ke sekolah agama setiap tahun yang mana kira-kira 48,976 telah didaftarkan pada tahun ini.

“Kita menerima lebih kurang seramai 3,000 murid setiap tahun dan ini menandakan asas kesedaran ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menerima pendidikan agama di negeri ini semakin meningkat.

“Malah beberapa faktor lain seperti tahap keselesaan dan nilai perkhidmatan pendidikan yang dibekalkan guru-guru menjadi pendorong kepada peningkatan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post Amal budaya kerja di luar kotak, kekalkan integriti – MPAG
Next post Perzim wakili Zon Selatan Festival Hari Muzium Antarabangsa
Ubah saiz-+=