Melaka perluas 5G di 224 lokasi menjelang TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ASAHAN 9 Mei – Kerajaan negeri akan memastikan liputan 5G akan diperluas di seluruh negeri menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 224 lokasi di kesemua tiga daerah di negeri ini akan mendapat rangkaian tersebut pada tahun ini.

Beliau berkata, setakat 30 April lalu, sebanyak 100 lokasi telah mendapat akses perkhidmatan internet berkelajuan tinggi itu.

“Pemasangan 5G mencapai 54 peratus buat seluruh Negeri Melaka dan kita akan berbincang bersama Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) dan agensi berkaitan untuk disegerakan lagi pemasangan akses ini.

“Kerajaan Negeri menyasarkan dan akan memastikan pemasangan 5G akan diselesaikan sebelum TMM2024 seperti yang disarankan Ketua Menteri.

“Setakat ini ada 100 lokasi sasaran telah menerima capaian 5G, di mana di Melaka Tengah terdapat 91 lokasi diikuti enam lokasi di Alor Gajah dan tiga lagi di daerah Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Dataran MARA, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Dalam pada itu, Fairul Nizam berkata, sekiranya sasaran tersebut dicapai lebih awal, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah kuota tambahan pemasangan menara 5G di beberapa lokasi lain yang terpilih.

“Kita sasar jika mampu dicapai lebih awal, kita akan minta kuota tambahan khususnya di dalam DUN Asahan kerana kita mahu sasar sekurang-kurangnya ada dua hingga tiga pekan kecil di negeri ini akan dinaik taraf kepada pemasangan 5G,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1888
Kongsi :
Previous post Sketsa kepenggunaan jadi medium depani cabaran kos sara hidup
Next post Cerun runtuh: Pemaju projek diberi tempoh 7 hari – KM
Ubah saiz-+=