Melaka persinggahan pertama pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 1 Julai – Hubungan sejarah yang panjang antara Indonesia dan Malaysia menyaksikan Melaka menjadi destinasi pertama persinggahan pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah di luar negara kepulauan itu.

Direktor Jenderal Kebudayaan Kementerian Pendidikan Kebudayaan, Riset dan Teknologi Indonesia (Kemendikbudristek) Hilmar Farid berkata, pelayaran yang dimulakan sejak 2017 itu adalah usaha pihaknya menjejak tinggalan jalur rempah yang bermula di negara itu sejak 2000 tahun yang lalu dan dibawa sehingga ke Timur Afrika.

Katanya, tiga pelayaran dibuat dalam perairan Indonesia dan Melaka menjadi persinggahan luar pertama, selepas ini jelajah itu akan diteruskan ke negara lain.

“Beberapa aspek diambil dalam pemilihan Melaka sebagai lokasi pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah ini, antaranya berdasarkan hubungan sejarah yang panjang antara Malaysia dan Indonesia termasuk Melaka pernah menjadi pusat perdagangan terkenal dunia suatu masa dahulu.

“Selain status Melaka yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan terkahir kerana kita ingin perkukuhkan lagi hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia khususnya dalam bidang kulinari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas perasmian Program Muhibah Budaya Jalur Rempah Melaka, di perkarangan Muzium Rakyat, semalam.

Majlis disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan turut dihadiri Timbalannya, Datuk Zaidi Attan serta Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Indera Hermono.

Hilmar berkata, cadangan Kerajaan Negeri Melaka untuk mengangkat pelayaran Muhibah Budaya Jalur Rempah ke UNESCO bagi mendapat pengiktirafan adalah usaha positif kerana ia membabitkan warisan dunia.

“Apa yang kita lakukan ini adalah warisan milik dunia, apabila disuarakan hasrat ini kita nanti akan mengadakan perbincangan bersama secara jelas termasuk mengambil kira semua aspek.

“Apa ingin dibawa dan dibentangkan kepada UNESCO adalah sesuatu yang kukuh dan terperinci. Malah rumusan yang diperoleh pada penghujung simposium juga akan diguna pakai untuk dibawa kepada UNESCO dalam usaha mendapatkan pengiktirafan,” katanya.

Jelasnya, pelayaran yang menggunakan Kapal Republik Indonesia (KRI) Dewaruci itu disertai 120 ‘laskar rempah’ terdiri daripada penulis, pensyarah, penyelidik dan pemain industri kebudayaan termasuk wartawan memulakan pelayaran pada 7 Jun lalu sebelum tiba di Pelabuhan Tanjung Bruas, kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Menerusi pelayaran ini, kita akan melalui tujuh titik Jalur Rempah bermula di Jakarta, Belitung Timur, Dumai dan Sabang di Indonesia sebelum berlayar ke Melaka dan berlabuh selama empat hari sehingga 3 Julai.

“Kemudian ‘laskar rempah’ akan meneruskan pelayaran ke Tanjung Uban, Lampung dan Jakarta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

75
Kongsi :
Previous post Teater warisan, sejarah diteruskan
Next post ‘Bayar cukai, elak harta disita’
Ubah saiz-+=