Melaka peruntuk RM33,000 caruman kepada 216 pengayuh beca

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDA HILIR 5 Dis. – Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM33,000 bagi caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 216 pengayuh beca di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, skim itu diberikan bermula 1 Oktober lalu.

“Skim ini memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pengusaha beca ketika memberi perkhidmatan beca kepada orang ramai.

“Hari ini, kerajaan negeri sekali lagi memberi perhatian kepada pengayuh beca dengan memberi bantuan insentif secara ‘One Off’ sebanyak RM200 seorang buat mereka yang mencarum Skim SKSPS Perkeso,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan insentif ‘One Off’ & Kit Makanan Daripada Kerajaan Negeri Melaka Dalam Menangani Wabak COVID-19 Kepada Pengayuh Beca Melaka Tahun 2020 di Muzium Rakyat, hari ini.

Jelasnya, walaupun RM200 itu bukanlah satu jumlah yang besar, namun diharapkan ia dapat membantu meringankan beban pengayuh beca dalam mendepani pandemik COVID-19.

“Satu lagi berita gembira pada semua pengayuh beca, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) setuju mengecualikan Bayaran Pembaharuan Lesen Tahun 2021 dan Bayaran Proses Lesen berjumlah RM24.

“MBMB turut membuka kaunter di sini (Muzium Rakyat) untuk memudahkan proses permohonan pembaharuan lesen beca.

“Pengayuh beca tidak perlu berjalan jauh ke Graha Makmur, Ayer Keroh untuk menguruskan permohonan ini,” katanya lagi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron dan wakil jabatan.

Views:

307
Kongsi :
Previous post Rentas daerah dan negeri dibenarkan mulai Isnin ini
Next post Ahmad Faizal letak jawatan MB Perak
Ubah saiz-+=