Melaka rangka pelbagai inisiatif tahun depan bantu nelayan
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata usaha itu termasuk memperluas industri akuakultur untuk diusahakan nelayan setempat.
“Sebagai contoh, projek ternakan kupang di Merlimau yang boleh dituai pada akhir bulan ini, modal RM1.1 juta dibiayai kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri manakala 100 peratus hasil diberikan kepada nelayan yang mengusahakan projek berkenaan dan permohonan permit kini dibuka untuk mereka mengambil hasil.
“Ini antara usaha kita (Kerajaan Melaka) membantu mereka (golongan nelayan) memandangkan keadaan hasil tangkapan yang semakin berkurangan sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Sara Hidup Sekali Beri Fasa Keempat kepada 297 nelayan di Merlimau di sini hari ini.
Insentif sara hidup secara sekali beri itu diberikan kepada 1,103 nelayan berdaftar di Melaka membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM1.15 juta iaitu nelayan dibayar empat kali sebanyak RM250 bagi setiap fasa.
Dr. Muhamad Akmal berkata pihaknya juga sedang berunding dengan beberapa syarikat konsesi penambakan laut di perairan negeri itu untuk melihat bantuan yang boleh diberikan kepada nelayan menerusi program tanggungjawab sosial korporat mereka.
Beliau berkata antara cadangan itu ialah pemberian bot dengan kapasiti enjin yang lebih besar kepada nelayan untuk membolehkan mereka memperluas kawasan tangkapan ikan di perairan khusus di kawasan terjejas tambakan pasir. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.