Melaka saran kontraktor jadi pakar seperti doktor

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 Julai – Kontraktor-kontraktor di negeri ini perlu melakukan anjakan paradigma dengan mendalami bidang tertentu supaya mereka boleh bergelar pakar dalam sesuatu projek.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembaharuan itu perlu memandangkan kini terdapat lambakan kontraktor di seluruh negara.

Katanya, mengambil contoh doktor yang mempunyai pakar dalam bidang tertentu, kontraktor juga boleh berubah ke arah itu dengan menjadi pakar dalam sesuatu projek.

“Seperti contoh, kita ada kontraktor pakar cerun, pakar besi, pakar bumbung, pakar longkang dan lain-lain. Ini dapat membantu mereka terus bertahan.

“Malah, disebabkan lambakan kontraktor, selain projek kerajaan yang semakin terhad, mereka-mereka ini juga perlu beralih mencari peluang dalam projek-projek swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-34 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Zahari Abd Kalil; Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan dan Yang Dipertua PKMM Negeri Melaka Datuk Tajudin Husin.

Dalam pada itu, Hameed berkata, pihaknya mewakili Kerajaan Negeri turut bersetuju agar kerajaan mengkaji semula pembekuan lesen baharu kepada kontraktor G1 hingga G7 yang dicadangkan PKMM.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kontraktor G1 hingga G7 sudah berjumlah 130,000 orang di seluruh negara dan di Melaka sendiri ia sudah mencapai jumlah 3,500 orang.

“Sesuatu kerjaya itu tidak boleh ada lambakan, jadi ia perlu dikawal dan disekat kerana jika permintaan tidak banyak, janganlah buat penawaran yang begitu tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

966
Kongsi :
Previous post Projek RTB Sungai Kesang, JPS diarah kemuka laporan segera
Next post Orang kampung bakal nikmati akses 4G lebih meluas – Exco
Ubah saiz-+=