Orang kampung bakal nikmati akses 4G lebih meluas – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

ASAHAN 13 Julai – Lebih 2,000 penduduk kawasan luar bandar seluruh Melaka bakal menikmati jaringan perkhidmatan jalur lebar 4G yang lebih cekap dan meluas menerusi pembinaan 20 menara telekomunikasi baharu.

Usaha itu dijayakan menerusi Projek Pembinaan Menara Telekomunikasi di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, setakat ini sebanyak 10 menara bagi fasa pertama telah dibina manakala baki 10 lagi dijangka disiapkan pada fasa kedua.

“Syukur dalam tempoh setahun setengah ini, kita berjaya bina dua menara telekomunikasi iaitu di Kampung Gapis dan Batang Melaka Baru bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

“Selepas ini lebih banyak menara akan dibina termasuklah di Kampung masyarakat Orang Asli Gapam Baru, Majlis Sukan Negara (MSN) Asahan dan beberapa kawasan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek menara telekomunikasi dibawah program PPS JENDELA DUN Asahan, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka, Muhammad Luqman Ali dan Ketua Pegawai Esksekutif Melaka ICT Holding Sdn. Bhd. (MICTH), Dr. Nazdiana Ab Wahab.

Fairul Nizam berkata, antara lokasi pembinaan 10 lagi menara telekomunikasi dicadangkan MCMC adalah di Kampung masyarakat Orang Asli Machap Umboo, Jalan Tebong, Pulau Besar dan Kem Depoh Hutan Simpan Masjid Tanah yang akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

“Untuk makluman juga program PPS ini hasil sumbangan syarikat telekomunikasi iaitu sebanyak enam peratus setahun kepada kerajaan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.

“Sumbangan ini berdasarkan jumlah keuntungan diperolehi syarikat telekomunikasi itu sendiri bagi membantu kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1462
Kongsi :
Previous post Melaka saran kontraktor jadi pakar seperti doktor
Next post Uptown Pahlawan Walk: Beri ruang semua pihak bersuara
Ubah saiz-+=