Uptown Pahlawan Walk: Beri ruang semua pihak bersuara

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 13 Julai – Sebarang keputusan berhubung perkara yang membabitkan ‘Uptown Pahlawan Walk’ akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk 188 peniaga di kawasan itu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin memberikan jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan memberikan ruang dan peluang kepada semua pihak menyuarakan pandangan mereka.

Tegasnya segala keputusan yang bakal dibuat nanti akan mengambil kira pandangan majoriti peniaga yang terlibat.

Namun pada masa yang sama Rais, meminta semua pihak agar bersabar dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan berlakunya suasana panik.

Jelasnya, ia susulan ketika ini banyak spekulasi tidak sahih berhubung Uptown Pahlawan Walk yang tular di media sosial.

Malah beliau sendiri masih menunggu hasil penilaian akhir daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang kini sedang melaksanakan kajian untuk mewujudkan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.

“Saya sendiri akan berjumpa dengan peniaga namun sedang menunggu laporan penilaian akhir daripada MBMB.

“Bagi perkara melibatkan peniaga di Uptown Pahlawan Walk ini saya memberi ruang kepada penganjur untuk berjumpa peniaga dan memaklumkan hasrat Kerajaan Negeri seperti pada sesi dialog diadakan baru-baru ini.

“Cuma ingin saya tegaskan lagi sekali, Kerajaan Negeri sehingga hari ini tidak pernah lagi mengeluarkan sebarang notis pemindahan, kajian sedang dijalankan, jadi saya minta semua pihak terbabit tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kacau ganggu dan suasana panik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesedaran Kebersihan di Jalan Jonker, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Mutalib dan Pengerusi Persatuan Peniaga Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post Orang kampung bakal nikmati akses 4G lebih meluas – Exco
Next post STPM 2022: 46 calon di Melaka raih PNGK 4.00
Ubah saiz-+=