STPM 2022: 46 calon di Melaka raih PNGK 4.00

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PENGKALAN BATU 13 Julai – Pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2022 di Negeri Melaka menunjukkan peningkatan, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Menurutnya, antara yang membanggakan ialah pencapaian Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 yang meningkat 0.89 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jelas beliau, seramai 46 calon STPM 2022 telah memperoleh gred cemerlang itu, berbanding hanya 33 calon pada 2021.

“Seramai 1,207 calon yang hadir menduduki peperiksaan STPM2022 pula merekodkan PNGK Negeri sebanyak 2.84 mata.

“Rekod ini sekali gus menyaksikan Melaka mencapai mata lebih baik daripada peringkat nasional apabila PNGK Nasional merekodkan 2.82 mata.

“Peratusan calon STPM 2022 seluruh negeri yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran adalah 99.42 peratus meningkat sebanyak 0.39 peratus berbanding 99.03 peratus pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2022 Negeri Melaka diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Mohd. Ghazali Ahmad.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, pelajar dari 13 buah sekolah di Melaka telah tersenarai menerima pencapaian keputusan PNGK 4.00 bagi STPM 2022.

Katanya, Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tun Fatimah mendahului senarai apabila seramai 22 calon merekodkan keputusan cemerlang bagi peperiksaan itu.

“Ia diikuti enam calon bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka dan tiga calon cemerlang dari SMKA Sultan Muhammad.

“Manakala, dua calon cemerlang masing-masing telah direkodkan dari lima buah sekolah iaitu SMK Seri Tanjung, SMK Tun Tuah, SMK Munshi Abdullah, SMK Gajah Behrang dan SMK Sultan Alaudin.

“Selain itu, hanya seorang pelajar menerima PNGK 4.0 dari lima buah sekolah lain iaitu SMK Pulau Sebang, SMK Dato’ Haji Talib Karim, SMK Datuk Bendahara, SMK Tun Syed Zahiruddin dan SMK Inskandar Shah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2068
Kongsi :
Previous post Uptown Pahlawan Walk: Beri ruang semua pihak bersuara
Next post TMM2024: Melaka Sentral sedia sambut pelancong
Ubah saiz-+=