Melaka sasar 62,000 kemasukan pelancong Indonesia menerusi jalan laut

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Mei – Seramai kira-kira 62,000 pelancong Indonesia disasarkan akan memasuki Melaka menggunakan perkhidmatan feri di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Kota Laksamana.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perkhidmatan feri yang dihentikan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 akan beroperasi semula seperti biasa yang membabitkan tiga perjalanan masuk ke Melaka setiap minggu.

“Namun kita sasarkan untuk tingkatkan lagi kemasukan ini kepada tujuh trip dalam seminggu dengan kapasiti seramai 280 penumpan untuk sebuah feri.

“Setakat ini, feri ini beroperasi pada Rabu, Jumaat dan Ahad untuk kemasukan dari Dumai ke Melaka, manakala Selasa, Khamis dan Sabtu adalah trip ke negara itu.

“Kita akan sasarkan untuk tingkatkan perjalanan ini dalam masa terdekat kepada setiap hari dan bukannya berkala,” katanya.

FERI Indomal Kingdom selamat berlabuh di jeti ICQS. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan feri pertama dari Dumai di ICQS, di sini hari ini.

Terdahulu, Indomal Kingdom bersama sembilan anak kapal yang membawa seramai 175 penumpang selamat berlabuh di jeti ICQS jam 12.20 tengah hari tadi.

Pada masa sama, Jailani berkata, ramai pelancong yang tiba menerusi feri berkenaan datang ke Melaka untuk mendapatkan rawatan di beberapa pusat perubatan swasta di negeri ini.

PENUMPANG berurusan di kaunter tiket feri. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Ini merupakan sasaran kita dalam meningkatkan perkhidmatan pelancongan dalam subsektor kesihatan di Melaka, bagi saya ini satu permulaan yang baik buat negeri Melaka.

“Kita juga telah berbincang dengan beberapa syarikat untuk menyediakan penerbangan sewa khas antara Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II, Pekanbaru, Indonesia.

“Malah kita juga telah berbincang dengan Indonesia mengenai kerjasama membekalkan pelatih industri untuk mengatasi masalah tenaga kerja di pusat perubatan negeri ini,” katanya.

PENUMPANG melintasi feri Indomal Kingdom. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1520
Kongsi :
Previous post Ras Adiba cadang Malaysia serah laporan awal berkaitan CRPD kepada PBB
Next post Feri Dumai leraikan rindu ibu dan anak
Ubah saiz-+=