Melaka sasar bebas AIDS 2030

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 1 Dis. – Kerajaan negeri menyasarkan 2030 sebagai tahun untuk mengakhiri AIDS di Negeri Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, usaha mengakhiri penyakit yang boleh berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan dan aktiviti seksual itu dalam tempoh 10 tahun diyakini boleh dicapai melalui kerjasama dan iltizam yang ditunjukkan pelbagai pihak.

Jelasnya, sehingga September 2020, jumlah kumulatif kes HIV yang dilaporkan di negeri ini adalah sebanyak 4,332 kes, yang mana majoritinya, iaitu 89.5 peratus adalah lelaki.

“Selain itu, kita juga mula mengesan 149 kes HIV atau AIDS dengan 3.4 peratus daripada kes keseluruhan datangnya dari kalangan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

“Jumlah pesakit HIV atau AIDS yang telah meninggal dunia setakat ini ialah sebanyak 1,165 orang atau 27 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Justeru, peranan yang dimainkan oleh semua pihak adalah amat dihargai kerana dengan bantuan dan sokongan semua ia boleh membawa impak besar kepada kawalan HIV dan AIDS di Melaka, sekali gus mencapai sasaran untuk mengakhiri AIDS menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia 2020 Peringkat Negeri Melaka di Klinik Kesihatan Jalan Gereja, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Ismail Ali.

Dalam majlis tersebut Rahmad turut dibawa melawat ke Bilik Kamelia iaitu sebuah projek komprehensif pencegahan HIV melalui transmisi seksual di klinik kesihatan berkenaan.

Projek Kamelia itu telah bermula pada tahun 2018 dengan menggunakan pendekatan mesra ‘key population’ (golongan sasar) iaitu menyediakan petugas dalam kalangan golongan sasar itu sendiri untuk membantu petugas kesihatan.

Rahmad berkata, petugas yang dilantik itu bukan sahaja aktif menjalankan pengesanan pesakit HIV dan AIDS, tetapi juga mengendalikan sesi kaunseling peribadi.

“Melalui projek ini, hasilnya setakat Oktober 2020, seramai 187 golongan sasar telah datang mendapatkan perkhidmatan di mana 19 kes HIV positif baharu telah dikesan,” ujarnya.

Views:

822
Kongsi :
Previous post COVID-19: Jumlah pelaburan Negeri Sembilan susut 
Next post Penebangan hutan di Amazon cecah 11,000 km persegi
Ubah saiz-+=