COVID-19: Jumlah pelaburan Negeri Sembilan susut 

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SEREMBAN 1 Dis. – Jumlah pelaburan di Negeri Sembilan susut kepada RM665 juta melibatkan 11 projek bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding RM 811.2 juta merangkumi 21 projek bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini berikutan penutupan sempadan negeri dan antarabangsa susulan penularan pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan langsung terhadap sektor pelaburan negeri ini.

Beliau berkata, sebanyak RM302.5 juta daripada jumlah keseluruhan RM665 juta itu adalah daripada pelaburan asing manakala 362.5 juta merupakan pelaburan tempatan.

“Kemasukan punca (sumber) pelaburan asing ke negeri ini berkurangan sebanyak 50.3 peratus berbanding tahun lepas manakala pelaburan tempatan meningkat sebanyak 79.1 peratus susulan strategi yang difokuskan terhadap perkembangan projek sedia ada,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan  di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) mengenai unjuran yang digunapakai oleh kerajaan negeri bagi mengawal dan mengimbangi kesan ekonomi berikutan jangkaan penguncupan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menjelaskan selanjutnya, Aminuddin berkata antara inisiatif bagi mengatasi perkara tersebut adalah menerusi pelaksanaan Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 yang akan dilancarkan bulan ini selain beberapa insentif khas bagi menyokong usaha menggalakkan pembangunan.

“Ini termasuk penyediaan fasilitasi menyeluruh iaitu penyelarasan di peringkat kerajaan bagi membantu pihak swasta di beberapa kawasan selain menyegerakan proses pelaksanaan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata antara sektor industri pembuatan di negeri itu yang tidak terjejas berikutan COVID-19 adalah farmaseutikal, pembuatan makanan, dan peralatan perubatan.

Menjawab soalan tambahan Mohamad mengenai kemungkinan kerajaan negeri memikirkan cara baharu menyelesaikan masalah pengangguran selain meningkatkan sektor pertanian, Aminuddin berkata projek pembangunan sebanyak RM150 juta pada tahun hadapan akan memberi impak besar terhadap rakyat di negeri itu.

— BERNAMA

Views:

289
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak perempuan cedera terjatuh dari jejambat
Next post Melaka sasar bebas AIDS 2030
Ubah saiz-+=