Melaka sedia bimbing anak muda ceburi bidang pertanian

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MERLIMAU 27 Jun – Kerajaan negeri sedia memberi galakan dan bimbingan kepada golongan muda di Melaka untuk menceburi bidang pertanian.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya melalui agensi-agensi terbabit sentiasa komited membantu semua golongan muda dengan menyediakan bimbingan teknikal dan asas pertanian.

“Melaka mempunyai banyak tanah-tanah pertanian di kawasan luar bandar yang boleh diusahakan. Menurut data jabatan pertanian, Melaka mempunyai 1,915 lot terbiar yang sesuai untuk pertanian dengan keluasan 2,332 hektar.

“Justeru, kita sangat menggalakkan golongan muda di Melaka untuk menyertai Program Agropreneur Muda yang diusahakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) ini yang pastinya mempunyai banyak manfaat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda 2020 di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad

Dalam majlis tersebut, seramai lima orang agropreneur muda negeri ini telah menerima geran keseluruhan berjumlah RM75,000 bagi fasa pertama 2020.

Ia menjadikan keseluruhan 259 agropreneur muda negeri ini telah menerima manfaat yang sama dengan jumlah peruntukan sebanyak RM4.33 juta sejak 2016.

Views:

665
Kongsi :
Previous post KM santuni warga Merlimau
Next post RM800,000 bangunkan kawasan riadah baharu di Merlimau
Ubah saiz-+=